
Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata setiap parti komponen mencadangkan calon masing-masing dan ia sedang dibincangkan dengan teliti dan akan menjalani proses undian sebelum diputuskan.
“Speaker (Dewan Rakyat) akan dilantik pagi Isnin depan, sebelum semua ahli Dewan mengangkat sumpah, lazimnnya speaker Dewan Rakyat dan 2 timbalannya adalah kombinasi dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak…Melayu dan bukan Melayu.
“Bagi menepati manifesto pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), jawatan ini adalah dalam kalangan anggota Dewan Rakyat dan bukan dari Dewan Negara (Senator).
“Ini kerana kita mahu mereka ini mempunyai rasa tanggungjawab terhadap anggota Dewan Rakyat dan dapat menjalankan tugas dengan adil serta saksama,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Anjuran PKR Cabang Pelindung, dekat sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Adun Semambu, Lee Chean Chung.
Saifuddin yang juga menteri luar berkata, calon terpilih perlu meletak jawatan dalam parti untuk memastikan mereka dapat melaksanakan jawatan yang diamanahkan itu dengan lebih telus.
Dalam masa sama, katanya, pembangkang juga terbuka untuk menghantar nama yang difikirkan sesuai dipertimbangkan.
Mengenai kemungkinan PH memilih bekas penasihat sosio-budaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim sebagai speaker Dewan Rakyat baru, Saifuddin enggan mengulas lanjut, namun mengulangi jawatan itu untuk ahli Dewan Rakyat.
Sebelum ini, nama Rais dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh disebut-sebut antara calon speaker Dewan Rakyat dan timbalan speaker.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin mengesahkan Duta Malaysia ke Vatican, Tan Sri Bernard Dompok sudah kembali ke tanah air selepas diarahkan pulang 30 Jun lalu.
“Perkara dah selesaikan pegawai (Kementerian Luar)…setakat ini melibatkan 2 orang sahaja, yang di Vatican dah kembali.
“Kita sedang mengenal pasti calon sesuai untuk menggantikan mereka.”
Sebelum ini, 2 duta Malaysia yang merupakan lantikan politik kerajaan pimpinan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan notis pengosongan jawatan mereka.
Mereka ialah Duta ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Dompok.