
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Majlis Penasihat Kerajaan itu akan dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, manakala timbalan pengerusinya ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Terdapat juga beberapa tokoh yang berpengalaman dalam sektor kerajaan serta pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai kepakaran tertentu di dalam majlis penasihat ini.
“Ia juga terdiri daripada pimpinan parti serta panel perunding, iaitu pegawai dalam jabatan kerajaan untuk memastikan pelaksanaan manifesto PRU14 yang berteraskan kesejahteraan rakyat di 2 negeri itu dapat dilakukan,” katanya pada sambutan Aidilfitri PAS Pusat dan Terengganu hari ini.
Beliau berkata, walaupun PAS memerintah Kelantan selama 28 tahun, majlis penasihat itu tetap perlu ditubuhkan di sana untuk memastikan semua janji manifesto parti kepada rakyat negeri itu dapat ditunaikan.
“Majlis penasihat ini juga akan bertindak sebagai badan pemantau atau pemerhati kerana pendekatan PAS sekarang ialah mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera terhadap kerajaan persekutuan.
“Walaupun PAS sekarang ini pembangkang, kita tidak menentang parti pemerintah…sama seperti terhadap kerajaan terdahulu (Barisan Nasional). Hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat ini berdasarkan konsep federalisme.”
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, parti itu akan menganjurkan Muktamar PAS Pusat dan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS di beberapa lokasi di Terengganu pada 14 hingga 16 September depan.
“Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat tadi memutuskan muktamar itu akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Nerus, Muktamar Dewan Pemuda di Stadium Negeri Kuala Terengganu, Muktamar Dewan Muslimat di Taman Tamadun Islam dan Muktamar Dewan Ulama di Hotel Permai.
“PAS juga akan menjemput parti-parti pembangkang lain, termasuk Umno serta parti gerakan Islam dari luar negara ke muktamar itu.”