Najib sebak terima RM260,000 dan 2 gelang disumbang Wanita Umno

Najib sebak terima RM260,000 dan 2 gelang disumbang Wanita Umno

Nurulhidayah meminta rakyat tidak mengadili atau menghina Najib, walaupun jika ahli Parlimen Pekan itu pernah melakukan kesalahan.

Free Malaysia Today
Najib Razak sebak dan tersentuh dengan sumbangan Wanita Umno. (Gambar Instagram Nurulzahid)
PETALING JAYA:
Ahli Umno terus memberi sumbangan untuk membantu Datuk Seri Najib Razak membayar ikat jamin RM1 juta dan terbaru datang daripada Wanita Umno.

Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata, pergerakan itu menyerahkan hasil kutipan RM261,286 dan 2 utas gelang kepada bekas perdana menteri itu, hari ini.

“Saya amat bangga dan terharu dengan pengorbanan yang dilakukan anggota Wanita Umno untuk membantu Najib,” katanya sambil menambah sumbangan itu dikumpul ahli sayap itu di seluruh negara.

Sekumpulan pemimpin dan ahli Wanita Umno, termasuk Nurulhidayah yang merupakan anak Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sumbangan itu kepada Najib di rumahnya.

Sebuah video yang dimuat naik Nurulhidayah di Instagramnya menunjukkan bekas presiden Umno itu sebak menerima sumbangan Wanita Umno.

“Tersentuh hati saya. Terima kasih,” kata Najib dengan sebak ketika menerima sumbangan daripada Wanita Umno sambil ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Noraini memulakan tabung itu bagi membantu Najib membayar wang jaminan RM1 juta, di mana lebih RM200,000 dikutip dalam 2 hari selepas dilancarkan.

Rabu lalu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan, di mana RM500,000 dibayar pada hari itu dan baki sebelum 3 petang Isnin ini, bersama 2 penjamin.

Nurulhidayah berkata, beliau pernah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar “kemanusiaan dalam menuntut keadilan” ketika timbalan perdana menteri itu dipecat dari Kabinet pada 1998.

“Hari ini, atas dasar kemanusiaan saya, suami dan madu saya bersama-sama Wanita Umno ke kediaman Najib untuk menyerahkan wang hasil kutipan Wanita Umno sebagai wang jaminan mahkamah. Semoga ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung Najib sekeluarga.”

Beliau turut meminta rakyat tidak mengadili atau menghina Najib, walaupun jika ahli Parlimen Pekan itu pernah melakukan kesalahan.

“Bagi saya, biarlah beliau diadili (mahkamah) dengan seadil-adilnya. Suka atau tidak perlu diakui beliau pernah menjadi perdana menteri Malaysia yang telah sedaya upaya berkhidmat untuk kita semua. Adapun khilaf yang berlaku, tidak layak untuk kita menghukum, apa lagi menghina.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.