Pemilihan PKR: Anwar calon presiden terbaik, kata AMK

Pemilihan PKR: Anwar calon presiden terbaik, kata AMK

Timbalan Ketua AMK Dr Afif Bahardin percaya anggota PKR akan memberi sokongan penuh kepada Anwar jika bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu bertanding sebagai presiden parti.

Free Malaysia Today
Dr Afif berkata pemimpin PKR perlu memastikan dan menyediakan parti itu untuk ke depan, terutama dalam mengharungi suasana politik negara ketika ini. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Dr Afif Bahardin mencadangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden parti itu pada pemilihan parti kali ini.

Katanya beliau percaya semua anggota PKR akan memberi sokongan penuh kepada Anwar jika bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu bertanding sebagai presiden parti.

“Saya rasa yang terbaik bertanding sebagai presiden PKR pada pemilihan yang dijadual berlangsung pada Ogos dan September ini ialah Datuk Seri Anwar kerana ini masanya untuk beliau kembali aktif dalam parti dan politik serta menjadi presiden dan seterusnya perdana menteri ke-8,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada masa ini PKR diterajui oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar.

Selepas pembebasan pertama Anwar daripada penjara, Kongres PKR pada 2007 bersetuju melantik beliau sebagai ketua umum, namun terikat larangan aktif dalam politik selama 5 tahun kerana dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun untuk pemenjaraan kali kedua, beliau mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agung yang membolehkannya aktif berpolitik serta-merta.

Dr Afif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang berkata, pemilihan parti kali ini juga sangat penting bagi PKR untuk meletakkan kedudukan sebagai sebuah parti kerajaan.

Katanya pemimpin PKR juga perlu pastikan dan sediakan parti itu untuk ke depan, terutamanya dalam mengharungi suasana politik negara ketika ini.

“Saya belum ambil apa-apa keputusan lagi untuk bertanding mana-mana jawatan dan tarikh akhir untuk penamaan calon (bagi bertanding) ialah 29 Julai ini…cuma saya lihat pemilihan kali ini penting untuk PKR meletakkan parti itu sebagai sebuah parti yang ke depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.