
Majistret Mohammad Abduh Md Hafidz membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak meminta lanjutan reman.
Lelaki bergelar ‘Datuk’ itu sebelum ini direman selama 3 hari bermula Khamis lepas bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Suspek berusia 59 tahun itu ditahan SPRM di pejabatnya kira-kira 12 tengah hari Rabu.
Ia susulan serbuan dilakukan suruhanjaya itu di sekitar Lembah Klang melibatkan beberapa premis seperti pejabat dan rumah suspek bagi mendapatkan dokumen berkaitan kes.
Suspek dipercayai menyalahguna kuasanya bagi memanipulasikan beberapa projek pembinaan yang sedang dijalankan GLC berkenaan.
Menurut jurucakap SPRM, projek itu dianugerahkan kepada syarikat kontraktor menerusi proses tender, namun disebabkan beberapa isu yang sengaja diadakan, pihak yang dilantik berkenaan gagal melaksanakan projek itu.
Projek berkenaan kemudiannya diberi kepada kontraktor pengganti dipercayai mempunyai kepentingan dengan suspek dan perkara itu sememangnya dirancang lebih awal, katanya.