
Dalam satu kenyataan, PNB mengesahkan pelantikan tersebut susulan persaraan Abdul Wahid pada 30 Jun ini.
Lembaga Pengarah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) dan PNB mengalu-alukan pelantikan Zeti dan yakin dengan pengalaman beliau yang luas akan terus memberi kepimpinan kukuh kepada Kumpulan PNB dalam mencapai mandat asasnya untuk memperkasakan kekayaan korporat demi manfaat rakyat Malaysia.
Zeti kini merupakan salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang diamanahkan untuk memberi nasihat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai perkara berkaitan ekonomi dan kewangan.
PNB juga berkata Datuk Awang Adek Hussin juga akan bersara sebagai ahli lembaga pengarah PNB berkuat kuasa esok.
PNB mengucapkan terima kasih atas sumbangan Abdul Wahid dan Awang Adek sepanjang berkhdmat di Kumpulan PNB.
“PNB menghargai kepimpinan Abdul Wahid dan bimbingannya kepada ‘Board and Management of PNB’, dan syarikat penerima pelaburannya sejak pelantikannya pada Ogos 2016,” katanya.
Abdul Wahid dilantik sebagai pengerusi PNB pada 1 Ogos 2016 menggantikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Beliau sebelum itu adalah ketua pegawai eksekutif Kumpulan Maybank, sebelum dilantik bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Maybank adalah organisasi ke-3 terbesar yang diterajuinya sebagai ketua pegawai eksekutif.
Beliau juga ketua pegawai eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Bhd dari Julai 2004 hingga pemisahannya dengan Axiata Group Bhd pada April 2008.
Spekulasi sebelum ini memuncak bahawa kerajaan baharu tidak gembira dengan kenyataannya mempertahankan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semasa kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14).