Walaupun berisiko, Grab bantu bayar bil, kata pemandu

Walaupun berisiko, Grab bantu bayar bil, kata pemandu

Johnny Lee berkata dia kurang berjaya mencari pekerjaan lain dan Daniel Chow kini lebih berhati-hati selepas kematian pemandu Grab dari Seremban di KL minggu lalu.

Free Malaysia Today
Ramai rakyat Malaysia masih mendaftar sebagai pemandu Grab walaupun berisiko.
GEORGE TOWN:
Penemuan pemandu Grab yang ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kesan jerutan pada leher minggu lepas menyoroti risiko sebenar yang dihadapi pemandu e-hailing negara ini ketika memberi perkhidmatan mereka.

Mangsa, Aiman Nosri, 27, dari Nilai, Seremban, ditemui dalam keadaan tertungkup di mana kepalanya di bawah mengenai lantai kereta dan kaki ke atas dalam kereta jenis Perodua Myvi miliknya di parkir Taman Selayang Makmur, kira-kira jam 8.20 malam Ahad lalu.

Pemandu Grab Johnny Lee yang kehilangan pekerjaan sebagai penulis tahun lalu berkata walaupun berisiko, menjalankan perkhidmatan perkongsian kereta ini membantunya menjelaskan bayaran bil.

“Saya ada mencari pekerjaan, tetapi kurang berjaya.

“Pada masa ini, menjalankan perkhidmatan Grab membantu saya membayar ansuran bulanan kereta, membiayai perjalanan saya ke Singapura dan sesi lepak bersama rakan-rakan sehingga sesuatu akan muncul yang boleh menukarkan kitaran ini daripada sepenuh masa ke separuh masa,” katanya kepada FMT.

Lelaki berusia 27 tahun yang tinggal di Kuala Lumpur itu berkata pada hari dia mempunyai masa terluang, dia akan memandu Grab sekurang-kurangnya 8 jam atau sehingga kreditnya di bawah RM10 selepas 8 malam.

Katanya, setiap hari dia memperoleh pendapatan antara RM100 hingga RM200. Dia memperoleh RM700-RM900 setiap minggu, bergantung berapa banyak perjalanan yang dibuatnya.

Walaupun dia tidak pernah mengalami pengalaman bahaya atau diancam sebagai pemandu Grab, Lee berkata terdapat risiko dalam pekerjaan itu, sambil menambah keselamatan menjadi isu bagi kedua-dua pemandu dan penumpang.

“Kami pemandu tidak terkecuali dari potensi bahaya. Seorang pemandu pernah memberitahu dia ingin mengambil seorang penunggang, rupa-rupanya sekumpulan samseng bersenjatakan parang muncul dan cuba menetak kepalanya!

“Nasib baik, dia melarikan diri dari bahaya itu dan membuat laporan polis.”

Lee berkata harapannya setiap kali keluar membawa Grab adalah dia akan pulang ke rumah dengan selamat dan “hidup sehari lagi dengan pengalaman hidup lain yang akan muncul”.

“Sementara saya menunggu peluang yang lebih baik dan stabil untuk saya, ini sekurang-kurang saya boleh lakukan untuk mempertahankan kewangan saya buat masa ini.”

Walaupun terdapat risiko, Lee menambah, dia gembira menjadi pemandu Grab, mengatakan dia menemui ramai penunggang yang baik di mana ada antara mereka mempunyai perbualan yang menarik.

Katanya, dia juga suka keluar dari zon selesa dan memandu ke tempat yang tidak pernah sampai untuk membawa penunggang ke destinasi mereka.

“Ada satu petang saya membawa penunggang saya ke Genting Highlands,” katanya.

Lee berkata dia juga mendapat kepuasan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penumpangnya.

“Tiada yang lebih kegembiraan apabila penunggang mengucapkan terima kasih kepada anda, dan ada yang mengisytiharkan akan memberikan penarafan 5 bintang di akhir perjalanan.”

Bagi Daniel Chow pula, menjadi pemandu Grab adalah kerjaya sampingan untuk membolehkannya memperoleh wang tambahan bagi menampung kos pinjaman keretanya.

Lelaki berusia 31 tahun itu adalah guru sepenuh masa dan menyediakan perkhidmatan Grab di sekitar Alor Setar, Kedah.

Walaupun tidak mengalami pengalaman mencabar sepanjang bergelar pemandu Grab, Chow berkata beliau juga mempunyai 1 atau 2 episod yang menarik.

“Ada peristiwa di mana saya terpaksa mengambil 4 penumpang yang baru tiba di terminal jeti Kuala Kedah dari Langkawi, dan menghantar mereka ke Kuala Perlis, kira-kira sejam perjalanan.

“Sebabnya, mereka gagal mendapatkan tiket feri dari Langkawi ke Kuala Perlis,” kata Chow yang mendaftar sebagai pemandu Grab Mac lalu.

Memandangkan apa yang berlaku kepada Aiman, Chow berkata dia kini lebih berhati-hati apabila keluar memandu Grab.

Dia berkata ini terutamanya ketika berdepan dengan individu yang kelihatan mencurigakan, terutamanya mereka yang duduk di sebelah pemandu di kerusi penumpang depan.

“Tetapi bagi saya ia lebih kepada imaginasi saya. Saya akan lebih berhati-hati jika sesuatu akan berlaku,” katanya.

Tambahnya, dia memperoleh kira-kira RM10 sejam jika dia bernasib baik.

“Jika tidak, ada hari di mana saya hanya duduk 2 hingga 3 jam tanpa permintaan, dan akhirnya saya berhenti menunggu. Itu agak tidak menyenangkan.

“Pada hari saya bernasib baik, saya memperoleh sehingga RM100 dengan memandu 10 hingga 12 jam,” katanya.

Pemandu Grab ditemui mati dalam kereta

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.