Perkeso perluas perlindungan kepada suami, isteri bekerja bersama

Perkeso perluas perlindungan kepada suami, isteri bekerja bersama

Sebelum perluasan perlindungan itu, seorang isteri atau suami yang diambil bekerja oleh pasangannya dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 tidak layak berdaftar dan mencarum sebagai "pekerja".

Free Malaysia Today
Melalui perluasan perlindungan ini, seorang isteri atau suami yang diambil bekerja oleh pasangan dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 akan mendapat perlindungan keselamatan sosial. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Sumber Manusia meluluskan perluasan perlindungan keselamatan sosial kepada suami atau isteri yang bekerja dengan pasangannya di dalam perusahaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800), berkuat kuasa 1 Julai ini.

Menurut kenyataan media Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebelum perluasan perlindungan itu, seorang isteri atau suami yang diambil bekerja oleh pasangannya dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 tidak layak berdaftar dan mencarum sebagai “pekerja”, di mana keadaan ini menyebabkan tiada perlindungan keselamatan sosial kepada mereka di bawah kedua-dua Akta tersebut.

“Melalui perluasan perlindungan ini, seorang isteri atau suami yang diambil bekerja oleh pasangannya dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 akan mendapat perlindungan keselamatan sosial di bawah kedua-dua Akta.”

Di bawah Akta 4, faedah perlindungan berkenaan meliputi faedah perubatan; faedah hilang upaya sementara; faedah hilang upaya kekal; faedah orang tanggungan; pencen ilat; bantuan ilat; pencen penakat; faedah pengurusan mayat; elaun layanan sentiasa; kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional, termasuk Program Kembali Bekerja (RTW) dan faedah pendidikan.

Perlindungan keselamatan sosial di bawah Akta 800 pula meliputi elaun mencari pekerjaan; elaun bekerja semula awal; elaun pendapatan berkurangan; elaun latihan; fi latihan dan program penempatan pekerjaan semula.

Majikan terlibat yang mengambil pasangannya bekerja dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 wajib mendaftar dan mencarum dengan Perkeso mengikut kaedah dan kadar caruman ditetapkan di bawah kedua-dua Akta tersebut mulai 1 Julai ini.

Kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan dan jika disabitkan dengan kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.