Ahli Parlimen jamin pinjaman, agensi kerajaan terhutang RM35 juta

Ahli Parlimen jamin pinjaman, agensi kerajaan terhutang RM35 juta

Lembaga pengarah agensi tidak pernah bersetuju menjamin pinjaman syarikat dari Sabah terlibat dalam projek gagal di Perak.

Free Malaysia Today
Seorang pekerja menyusun buah kelapa sawit di kilang pemprosesan. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen veteran dari Umno membelakangkan ahli lembaga pengarah sebuah agensi persekutuan yang bertanggungjawab membangunkan ekonomi luar bandar dengan menandatangani dokumen menjamin pinjaman bank berjumlah RM35 juta kepada sebuah syarikat persendirian yang kemudiannya gagal membayar balik pinjaman tersebut.

Ahli politik dari Sabah itu dikatakan secara berseorangan menandatangani Surat Akujanji “tidak boleh batal” daripada bank menyebabkan agensi berkenaan kini terpaksa menyelesaikan hutang tersebut.

Sumber, yang mensyaratkan identitinya dirahsiakan, memberitahu FMT syarikat persendirian berkenaan terlibat dalam usaha sama membina loji biogas di 2 kilang kelapa sawit di Perak. Kedua-dua projek itu gagal sehingga kini.

Loji biogas merawat buangan kilang dalam tangki kedap udara bagi menghasilkan tenaga elektrik.

“Di bawah projek ini, syarikat akan menyediakan dana untuk loji, sementara agensi berkenaan menyediakan tanah dengan balasan pemilikan 15% saham dalam sebuah syarikat bertujuan khas (SPV),” kata sumber kepada FMT, dan menambah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut menyiasat projek gagal itu.

“Ini wang pembayar cukai yang terpaksa ditanggung oleh agensi kerajaan. Kerajaan tidak boleh membatalkan perjanjian pinjaman itu,” katanya.

FMT difahamkan, syarikat berkenaan, dengan alamat berdaftar di Sandakan, mencadangkan projek tersebut kepada agensi pada 2014. Laporan teknikal ke atas kajian kebolehlaksanaan projek itu dan latar belakangn syarikat juga disediakan untuk perbincangan.

Akan tetapi mesyuarat lembaga pengarah kali ketiga pada tahun itu gagal memutuskan status projek kerana “kesuntukan masa” menurut catatan minit mesyuarat tersebut.

Namun pada 29 Julai 2015, Ahli Parlimen Umno terbabit menandatangani surat akujanji kepada sebuah bank tempatan atas kedudukanya sebagai seorang pengarah menjamin pinjaman sebanyak RM35 juta kepada syarikat persendirian itu.

“Ini bermakna agensi dengan tanpa syarat dan tidak boleh batal mengaku janji untuk membayar semua kos melibatkan projek itu dan menyediakan dana tambahan atau membuat apa-apa bayaran pendahuluan yang diperlukan bagi menyiapkan projek berkenaan,” kata sumber.

Dengan perkataan lain, apa-apa tunggakan, baki atau kurangan bayaran pinjaman itu perlu dibayar oleh agensi terbabit.

Kurang seminggu selepas kekalahan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya 9 Mei, bank dikatakan menghantar notis tuntutan kepada agensi kerajaan terlibat bagi tunggakan bayaran berjumlah RM1.7 juta.

“Lembaga pengarah tidak pernah memberi kuasa kepada Ahli Parlimen tersebut mengeluarkan surat akujanji dan mewakili agensi dalam SPV itu, atau mengesahkan pemilikan saham agensi di dalam syarikat tersebut.

Syarikat SPV itu gagal membayar balik pinjaman kerana kegagalan 2 lojinya, yang tidak dapat mengeluarkan tenaga elektrik untuk dijual kepada Tenaga Nasional (TNB).

FMT sedang mendapatkan respons daripada agensi dan Ahli Parlimen terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.