Asyraf Wajdi mahu contohi Syed Saddiq

Asyraf Wajdi mahu contohi Syed Saddiq

Ketua Pemuda Umno baru dilantik itu berkata walaupun tidak bergelar ahli parlimen namun beliau akan berperanan di luar Dewan Rakyat.

Free Malaysia Today
Asyraf Wajdi Dasuki berkata Khairy Jamaluddin dan Sahar Abdullah akan mewakili suara anak muda di Parlimen.
PETALING JAYA:
Tidak bergelar ahli parlimen bukan halangan untuk membawa suara anak muda ke Parlimen, kata Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pemuda Umno yang baru dipilih itu mengambil contoh pemimpin Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mampu menyampaikan mesej dan menarik golongan muda walaupun belum bergelar ahli parlimen sebelum pilihan raya lalu.

“Dulu Syed Saddiq bukannya ahli parlimen, jadi saya bukan ahli parlimen tidak menjadi masalah bagi Umno untuk membawa suara anak muda. Yang penting Pemuda ini kita kena perkasa, Pemuda Umno perlu diperkasa jati dirinya,” katanya kepada FMT selepas kemenangannya baru-baru ini.

Asyraf berkata demikian mengulas kritikan kononnya kemenangan beliau sebagai ketua Pemuda tidak memberi sebarang makna kerana bekas timbalan menteri itu bukannya seorang ahli parlimen.

Beliau berkata banyak altenatif yang boleh dilakukan untuk menyampaikan suara anak muda di Parlimen, termasuk menggunakan khidmat Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Sahar Abdullah.

“Kita sudah ada YB Sahar, YB Khairy, mereka sudah mewakili orang muda dalam Parlimen, jadi peranan saya adalah di luar (Dewan Rakyat).

“Suara-suara pemuda diperingkat akar umbi saya akan sampaikan melalui wakil rakyat muda seperti YB Khairy dan YB Sahar yang berada dalam Parlimen,” katanya.

Bekas calon ahli parlimen Pasir Puteh itu turut berikrar akan membawa masuk seberapa ramai bakat baharu dalam Pemuda dalam misi memulihkan kembali sokongan rakyat kepada parti itu.

Asyraf diumumkan sebagai pengganti Khairy selepas mengalahkan 7 pencabar lain termasuk pesaing terdekat, Senator Khairul Azwan Harun dan Sahar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.