
Dalam temu bual dengan South China Morning Post (SCMP), katanya, beliau “tidak akan selamanya popular”.
“Suatu hari nanti, saya tidak lagi popular kerana apabila anda berada dalam kerajaan, anda perlu melakukan perkara yang tidak popular. Jadi itu bukan sesuatu yang kekal.
“Tetapi buat masa ini, tentu saja, berbanding tempoh saya dengan tempoh Najib, mereka (rakyat) lebih suka kehidupan yang mereka jalani pada era saya,” katanya kepada akhbar harian Hong Kong itu, merujuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang digulingkan pada pilihan raya 9 Mei lalu.
Ini adalah tugas ke-2 Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Beliau sebelum ini mentadbir negara dari 1981 hingga 2003. Beliau kemudiannya menyertai pembangkang untuk menggulingkan Najib pada pilihan raya umum ke-14.
Beliau berjanji pada kempen pilihan raya untuk memberi peluang kepada pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjalani hukuman penjara 5 tahun atas tuduhan liwat.
Beberapa hari selepas memenangi pilihan raya, beliau berkata beliau mungkin akan kekal sebagai perdana menteri untuk “1 atau 2 tahun”.
Pada persidangan Nikkei di Tokyo minggu lalu, beliau berkata beliau bersedia berkhidmat sebagai perdana menteri jika itu adalah kehendak rakyat atau selagi mereka memerlukan khidmatnya.
“Tetapi sudah tentu, saya tidak tahu berapa lama saya sendiri akan bertahan,” katanya sambil menambah dalam tempoh 2 tahun beliau akan berusia 95 tahun.
“Ia akan menjadi satu rekod jika saya mencapai 95 tahun dan masih menjadi perdana menteri.”
Apabila ditanya dari mana beliau mendapat tenaga, Dr Mahathir memberitahu SCMP, beliau percaya ia adalah dari “perkara mudah seperti menjaga berat badan, tidak makan terlalu banyak, tidur yang betul dan sedikit senaman”.
Ditanya berapa jam beliau tidur setiap malam, beliau berkata: “Cukup. Sekitar 6 jam.”
Beliau menegaskan terpulang kepada rakyat berapa lama mereka mahu beliau kekal sebagai perdana menteri.
Ketika ditanya apakah beliau mahu kekal lebih daripada 2 tahun, beliau berkata: “Jika ada tugas yang saya masih boleh lakukan, jika saya masih sihat, saya boleh berfikir dan bercakap.”
Saya sedia terus berkhidmat jika rakyat mahu, kata Dr Mahathir