
Beliau berkata, perkara itu menjadi fokus utama pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang petang ini dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat.
“Mungkin sebelum ini disebabkan ada perbezaan pandangan dan sikap antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri (menyebabkan penstrukturan semula industri air tertangguh).
“Tapi kali ini saya percaya dengan keserasian kedua-dua pihak menjelang tarikh luput (penstrukturan semula industri air) pada 31 Julai depan, isu berkenaan boleh dimuktamadkan atau sekurang-kurangnya mempunyai alasan kukuh untuk diselesaikan,” katanya di pejabatnya hari ini.
Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sejak sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan persekutuan semasa pentadbrian Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan kerajaan negeri Selangor hanya menyelesaikan pengambilalihan 3 syarikat konsesi air lain.
Amirudin yang juga adun Sungai Tua dilantik sebagai menteri besar Selangor berkuat kuasa semalam bagi menggantikan Azmin yang melepaskan jawatan itu untuk menjadi menteri.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau akan berbincang dengan barisan exco negeri untuk melakukan rombakan kecil dalam senarai portfolio sedia ada dan keputusan akan diumumkan minggu depan.
Katanya, tiada jawatan timbalan menteri besar akan diwujudkan dalam pentadbirannya.