Adik Shahidan tak dialu-alukan, kata PPBM Perlis

Adik Shahidan tak dialu-alukan, kata PPBM Perlis

Ketua PPBM Perlis Amier Hassan berkata bekas pemimpin Umno hanya akan menyebarkan 'penyakit Umno' dalam partinya.

Free Malaysia Today
Ketua PPBM Perlis, Amier Hassan.
GEORGE TOWN:
Ketua PPBM Perlis Amier Hassan hari ini berkata pihaknya keberatan untuk menerima bekas-bekas ahli Umno seperti Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang dilapor berhasrat menyertai parti Pakatan Harapan itu selepas keluar Umno dan Barisan Nasional semalam.

Amier, juga ketua PH Perlis berkata, pihaknya membuka pintu kepada orang kebanyakan dan ahli-ahli Umno terpilih tetapi tidak mahu mengimport bekas pemimpin Umno kerana khuatir mereka akan mencemar parti.

Ismail, adik kepada Ketua Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, keluar Umno dan BN semalam atas alasan tidak lagi meyakini pimpinan parti dan gabungan itu.

Amier bagaimanapun mempersoalkan pemasaan langkah Ismail itu.

“Mengapa hanya sekarang? Mengapa tidak sebelum pilihan raya umum? Kalau kita ambil bekas pemimpin Umno, kita hanya benarkan penyakit Umno tersebar dalam parti. Ini tidak adil kepada rakan-rakan PH lain.

“Saya serah perkara ini kepada pimpinan pusat untuk membuat keputusan,” katanya.

Amier berkata langkah Ismail itu mungkin mendorong pemimpin Umno lain untuk menyertai PPBM demi “menyelamatkan diri sendiri” kerana tidak lagi berkuasa selepas pilihan raya 9 Mei lepas.

“Pemimpin Umno berkenaan hidup macam raja dan sekarang terpaksa hidup macam orang kebanyakan. Sudah tentu mereka cari jalan untuk hidup macam dulu,” katanya.

Dia mengulangi seruan untuk mengadakan pilihan raya baru di Perlis, bagi memberi peluang kepada pengundi mengubah fikiran selepas krisis menteri besar yang menyusuli pilihan raya.

Umno Perlis sebelum ini membantah keputusan Istana melantik Datuk Seri Azlan Man, seorang menteri besar Umno bagi penggal kedua kerana mereka dilaporkan mahu Ismail memegang jawatan itu.

Kebuntuan hanya terlerai sebulan selepas pilihan raya dan barisan exco negeri dilantik minggu lepas.

BN menang 10 dari 15 kerusi DUN di mana 9 dimenangi Umno dan 1 dimenangi MCA. Lima kerusi lain dipegang PKR (3) dan PAS (2).

Pemergian Ismail dari Umno menyebabkan parti itu kini hanya memiliki 9 Adun. Ini menyebabkan BN kurang 1 kerusi untuk membentuk majoriti 2/3 di Dewan Undangan Negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.