Adik Shahidan keluar BN, mungkin sertai PPBM

Adik Shahidan keluar BN, mungkin sertai PPBM

Ismail Kassim berkata, keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan Shahidan kerana beliau hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan BN.

Free Malaysia Today
Ismail Kassim (kanan) berkata, beliau mula mempertimbangkan untuk keluar BN sejak pilihan raya umum ke-12 pada 2008.
PETALING JAYA:
Datuk Ismail Kassim yang merupakan adun Tambun Tulang dan adik kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mungkin menyertai PPBM selepas meninggalkan BN.

Beliau yang dicalonkan sebagai menteri besar Perlis oleh abangnya sebelum ditolak Raja Perlis dipetik Berita Harian berkata, keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan Shahidan kerana beliau hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan BN.

“Secara rasminya saya sudah keluar Umno dan BN untuk menjadi wakil rakyat bebas dalam negeri ini.

“Saya bukan ‘puppet’ (boneka) dan dia (Shahidan) nak tahu pasal apa?

“Melalui pengumuman ini secara tidak langsung beliau (Shahidan) akan tahu. Saya nak buktikan soal adik-beradik tak timbul dalam politik. Saya berharap dengan keputusan ini semua pihak dapat menerima dengan lapang dada,” katanya dipetik akhbar itu.

Pada upacara pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis pada 24 Mei lalu, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkata, Ismail tidak dipilih memimpin negeri itu disebabkan hubungan rapatnya dengan Shahidan dan Raja Perlis itu tidak mahu seorang menteri besar boneka yang dikawal kuasa luar.

Ismail yang bersama Umno sejak 30 tahun lalu berkata, beliau mula mempertimbangkan untuk keluar BN sejak pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

“Saya perlu memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan perlu menjalin hubungan dengan kerajaan pusat terutama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat…maka saya perlu seiringan dengan kerajaan pusat.”

Ismail pernah menjadi ketua Pemuda Umno Perlis dan Bahagian Arau serta timbalan ketua Umno Bahagian Arau.

Pada 25 Mei lalu, Ismail dilaporkan berkata, beliau tidak akan menjadi boneka pihak lain dengan memberi contoh ketika menjadi pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mulai 1 November 2011 hingga 31 Oktober 2016.

Ismail berkata, Tuanku Syed Sirajuddin berkata demikian kerana tidak mengenali dirinya.

“Tak timbul soal boneka, itu soal alasan…kalau diberi kepercayaan, bila kita angkat sumpah kerahsiaan, kita rasa dalam diri kita diberi satu amanah yang penting,” katanya bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.