Kenapa tak hantar anak saya ke Mongolia, soal bapa Altantuya

Kenapa tak hantar anak saya ke Mongolia, soal bapa Altantuya

Shaariibuu Setev akan menemui perdana menteri petang esok dalam usaha menuntut keadilan atas kematian anaknya.

Free Malaysia Today
Shaariibuu Setev sedih mengenangkan kematian anaknya pada 2006 yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
KUALA LUMPUR:
Bapa warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu hari ini mempersoalkan kenapa anaknya dibunuh dan bukan dihantar balik ke negara itu.

“Kenapa mereka tidak gari dia dan hantar dia balik. Kenapa bunuh dia?

“Saya mahu keadilan untuk anak perempuan saya,” kata Shaariibuu Setev dalam sidang media hari ini.

Peguamnya, Ramkarpal Singh yang turut hadir dalam sidang media hari ini berkata, Setev akan menemui Peguam Negara, Tommy Thomas 3 petang ini dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 5 petang esok untuk membincangkan kemungkinan membuka semula siasatan ke atas kematian Altantuya.

Altantuya yang berusia 28 tahun ketika itu, dibunuh antara 19 hingga 20 Oktober 2006 oleh 2 anggota polis Malaysia.

Beliau ditembak di kepala sebanyak 2 kali, sebelum mayatnya dililit bahan letupan gred tentera dan diletupkan di dalam hutan. Motif jenayah dan dalang pembunuhan itu sehingga kini tidak diketahui.

Pembunuh terbabit, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, adalah anggota Unit Tindakan Khas yang menyediakan khidmat pengawal peribadi kepada pemimpin tertinggi negara.

Kedua-duanya disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia sebelum mahkamah membuat keputusan terakhir dan kemudian ditahan di Sydney hampir 2 tahun.

Pembunuhan Altantuya menarik perhatian kerana pembabitan Abdul Razak Baginda, bekas pembantu kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Razak yang didakwa bersama Sirul dan Azilah, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. Dia juga mengakui mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia itu.

Kes itu dikaitkan dengan pembelian 2 kapal selam Perancis, urus niaga yang sedang disiasat di Perancis kerana dakwaan sogokan melibatkan syarikat yang dikaitkan dengan Razak.

Bulan lalu, Setev merayu kerajaan Pakatan Harapan membuka semula siasatan untuk mendedahkan identiti dalang yang mengarahkan pembunuhan anaknya.

Sirul pula dilaporkan bersedia pulang ke Malaysia dan mendedahkan dalang di sebalik kes itu, tetapi dia menolak cadangan Ramkarpal untuk meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Dia turut mendakwa diri menjadi kambing hitam “dalam satu jenayah politik terancang” dan menafikan pernah mengaku membunuh Altantuya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.