Amirudin jadi MB Selangor dengan konsensus PH, kata Azmin

Amirudin jadi MB Selangor dengan konsensus PH, kata Azmin

Timbalan presiden PKR berkata perbincangan tentang perkara itu berjalan lancar dan atas semangat konsensus.

Free Malaysia Today
Bekas menteri besar Selangor, Mohamed Azmin Ali. (Gambar Bernama)
KLANG:
Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menepis dakwaan mengatakan penggantinya, Amirudin Shari, dilantik ke jawatan itu tanpa konsensus pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Perbincangan berjalan baik dan sudah tentulah dengan semangat konsensus untuk memastikan kesinambungan dan kestabilan Selangor,” kata timbalan presiden PKR kepada pemberita selepas angkat sumpah Amirudin hari ini.

Beliau juga tidak mahu terjebak dalam polemik tentang pelantikan itu.

Awal hari ini, Adun Ijok Dr Idris Ahmad mendakwa dia satu-satunya calon menteri besar yang disokong semua parti komponen PH.

Beliau berkata Amirudin hanya mendapat sokongan Azmin.

“Saya mempunyai sokongan dari semua parti,” kata Idris pada sidang media di rumahnya pagi tadi.

Amirudin bagaimanapun menepis dakwaan Idris, mengatakan dia seseorang yang bekerja secara berpasukan.

Idris sebelum ini dilaporkan antara calon yang akan menggantikan Azmin sebagai menteri besar.

PPBM sokong Amirudin dilantik MB

Pengerusi PPBM Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata parti itu menyokong pelantikan Amirudin sebagai pengganti Azmin.

“Bagi pihak PPBM kita neutral, kita beranggapan pelantikan ini kalau kita ikut undang-undang tubuh negeri Selangor, seorang menteri besar dicadangkan dengan nasihat dan sebagainya kepada Tuanku.

“Terpulang kepada Tuanku memilih sesiapa dirasakan boleh mengambil alih jawatan menteri besar Selangor. Kita terima dengan hati terbuka,” katanya pada jamuan makan tengah hari di Shah Alam, hari ini.

Rashid berkata, PPBM dimaklumkan Azmin mencadangkan 3 nama kepada Sultan Selangor.

“Saya sebenarnya dapat maklumat tentang 3 nama, tapi saya sendiri tidak tahu siapa mereka.

“Mereka cuma beritahu kita, tetapi tidak memberitahu siapa sebab PKR mempunyai majoriti di Selangor, jadi mereka berhak ke atasnya.”

FMT cuba menghubungi pimpinan PH lain dan sedang menunggu jawapan mereka.

Azmin mengambil alih tampuk pentadbiran negeri daripada Tan Sri Khalid Ibrahim yang berundur semasa krisis menteri besar pada 2014.

Ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa itu melepaskan jawatan itu selepas menerima pelantikan sebagai menteri hal ehwal ekonomi dalam pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saya disokong PH tapi Amirudin pula jadi MB, kata adun Ijok

Amirudin serah PH jawab isu tak dapat ‘restu’ sebagai MB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.