
Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kewujudan Umno di Sarawak ditolak ketika zaman pemerintahan bekas ketua menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Tan Sri Adenan Satem dan kini Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Malah, katanya sudah ada “gentleman agreement” antara era Taib dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan Umno bertapak di Sarawak.
Katanya, ketika itu ramai pengundi luar bandar tidak dapat memisahkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana yang disokong mereka bukan parti tetapi lebih kepada logo BN.
Bagaimanapun, katanya landskap politik sudah berubah selepas pilihan raya umum lepas apabila Dr Mahathir sudah berada di pihak Pakatan Harapan (PH), manakala Taib tidak lagi aktif dalam bidang politik.
“Jadi Umno boleh mencuba nasib memperluaskan pengaruh ke Sarawak bukan kerana kekuatan atas nama Umno itu sendiri.
“Umno mungkin disukai sesetengah bumiputera Islam di Sarawak kerana mereka tahu parti itu tidak bersalah tetapi pemimpin terdahulu yang mencemarkan imejnya,” kata Awang Azman.
Pada masa yang sama, katanya kekuatan Umno terletak pada penggunaan logo BN, logo yang dipercayai pengundi luar bandar di Sarawak.
Katanya, Umno juga boleh meletakkan mana-mana parti tempatan baru yang bertanding menggunakan logo BN jika tidak mahu parti itu bertapak di Sarawak.
“Ini dilakukan bagi mengajar 4 bekas komponen BN yang mengkhianati BN, namun tindakan ini mungkin berkubur jika BN dibubarkan dan digantikan logo lain.
“Begitu juga terdapat spekulasi Umno mungkin diharamkan kerana isu tidak mengikut peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” kata Awang Azman.
Jika ini berlaku, katanya maka harapan Umno bertapak di Sarawak semakin gelap.
Menurut Awang Azman peluang Umno bertapak di Sarawak adalah tipis dan beliau menyarankan penubuhan parti tempatan baru tetapi menggunakan logo BN untuk menewaskan musuh politik mereka termasuk 4 parti yang mengkhianati parti itu.