
Bercakap kepada wartawan di luar sidang media veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini, Johari berkata setiap kerajaan mempunyai dasar dan keutamaan berbeza.
Beliau mengulas laporan syarikat gergasi Filipina, San Miguel mungkin membeli aset milik negara dalam usaha Tun Dr Mahathir Mohamad mencari jalan untuk mengurangkan hutang Malaysia.
Bulan lalu, perdana menteri berkata, hutang negara dianggarkan mencecah 65% daripada keluaran dalam negara kasar, lebih tinggi daripada 50.8% pada akhir 2017 yang didakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Apa yang diperlukan ketika ini adalah menghormati kerajaan, walau siapa pun yang memerintah. Dulu masa kita memerintah, rakyat beri penghormatan terhadap apa yang kita nak buat.
“Jika ada kesalahan, kita bangkitkan secara berasingan. Pembangkang perlu memberi kritikan membina dan kerajaan pula perlu laksanakan dasar dengan mendengar rintihan rakyat.
“Rakyat sudah mengundi Pakatan Harapan. Sama ada kerajaan atau pembangkang, matlamatnya adalah untuk kebaikan rakyat. Jika rakyat Malaysia terjejas daripada dasar dilaksanakan, maka kita semua akan terkesan.”
Mengenai pemilihan Umno pada 30 Jun ini, bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, tiada perpecahan akan berlaku antara calon presiden kerana ia adalah saingan adik-beradik dalam usaha memperkasakan semula parti.
Beliau merujuk pengumuman Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh untuk bertanding jawatan presiden Umno bagi mencabar pemangku presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Johari menafikan kehadirannya pada sidang media hari ini bertujuan menyokong calon presiden berusia 81 tahun itu, sebaliknya ia adalah atas jemputan Tengku Razaleigh dan beliau juga ialah ketua Umno Bahagian Titiwangsa.
“Jadi, bila orang jemput saya, saya datanglah. Ini kawasan saya. Kampung saya di sini,” kata calon naib presiden itu.
Proses pencalonan bagi pemilihan Umno bermula 1 Jun lalu dan akan berakhir esok, manakala pengundian akan dijalankan 30 Jun ini.
Ini adalah pemilihan pertama dalam masa hampir 3 tahun selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia membenarkan parti itu menangguhkan pemilihannya.