
Isterinya, Norhayati Ariffin menitiskan air mata mengenangkan hari pertama Ramadan sebulan lalu perlu diharungi tanpa suaminya dan semalam pula, 1 Syawal ialah ulang tahun kelahiran ke-45 Amri.
“Di depan anak-anak, saya terpaksa menahan air mata. Semasa Amri ada, hampir setiap petang kami akan ke bazar Ramadan, Amri akan membawa anak-anak mencari murtabak kesukaannya, membeli kuih-muih untuk jiran-jiran kami.
“Itu adalah rutinnya. Kurma untuk jiran-jiran atau tetamu Ramadan tak pernah dilupakan,” katanya kepada FMT.
Bukan itu sahaja, katanya, Amri dan badan bukan kerajaan diasaskannya, Perlis Hope akan memasak bubur lambuk pada setiap Ramadan.
“Sebelum kehilangan Amri, aktiviti Perlis Hope meriah dengan aktiviti bergotong-royong membuat bubur lambuk tanpa henti sebulan dalam Ramadan dan diedarkan ke rumah anak-anak yatim, golongan sederhana dan orang ramai, saya amat berharap saat itu akan kembali.”
Persiapan raya
Menjelang 1 Syawal, Norhayati berkata, Amri akan menguruskan semua persiapan raya, termasuk menentukan menu raya.
“Amri sangat menghargai tetamunya, beliau akan cuba buat yang terbaik bila meraikan tetamu.
“Saya perlu masak bihun sup ‘gearbox’ jika kami berhari raya di Perlis, selain rendang daging dan nasi impit. Dialah yang paling sibuk mencari tulang untuk dibuat sup.”
Kini, katanya, segala persiapan hanya dilakukan secara sederhana kerana ini adalah Aidilfitri ke-2 tanpa kehadiran Amri.
“Dua tahun persiapan menyambut Aidilfitri memang sederhana. Saya dan anak-anak tidak mahu berlebih-lebihan kerana kami tak tahu di mana dan bagaimana keadaan suami,” katanya sebak.
Amri hilang sejak 24 November 2016 dan saksi kejadian memberitahu panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), mereka ternampak beberapa lelaki mencurigakan memintas kenderaan Amri pada malam itu dan Toyota Fortunernya ditemui kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.
Pada 30 Mei lalu, Norhayati memberitahu panel Suhakam yang seorang pegawai Cawangan Khas (SB) di Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd Daud memberitahu beliau, suaminya ditahan sepasukan polis dari Bukit Aman atas alasan Syiah pada November 2016.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy memberitahu panel Suhakam yang Shamzaini membuat laporan polis menafikan pernah membuat pendedahan mengejutkan itu dan dakwaan Norhayati tidak benar.
Katanya, Shamzaini tidak terbabit dalam operasi SB dari November 2016 hingga Januari 2018 dan beliau dalam laporan polisnya berkata, tujuan menemui Norhayati pada 12 Mei lalu untuk menyewa kedai milik keluarga Amri.
Pada 12 Jun lalu, Norhayati bersama Susanna Liew dalam satu surat terbuka merayu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membantu mengesan Amri dan Pastor Raymond Koh yang hilang lebih setahun lalu.
Anak tabah hadapi tohmahan masyarakat
Lebih setahun berlalu, Norhayati masih mendengar tohmahan dan sindiran masyarakat mendakwa kehilangan Amri ada kaitan dengan ajaran Syiah.
“Saya sedih bila saya ambil anak-anak pulang dari sekolah, ada yang membuat tuduhan tak elok kepada Amri. Kami hadapi tekanan perasaan…Kami hanya mampu bersabar.”
Beliau berkata, anaknya tabah menghadapi tohmahan dan sindiran masyarakat terhadap bapa mereka.
“Mereka tak pernah mengeluh atau tunjuk kesedihan di depan saya, walaupun saya tahu apa yang mereka rasai. Mereka jalani kehidupan seharian seperti biasa, walaupun nampak agak perit.”
Bagaimanapun, Norhayati mengakui dirinya tidak kuat anaknya dan nyaris hilang kewarasan ketika suaminya hilang.
“Kekuatan saya adalah anak-anak. Pernah saya seperti hilang pertimbangan dan tak dapat berfikir apa terjadi pada saya sekarang.
“Allah maha berkuasa, tiba-tiba saya teringatkan anak-anak dan saya tersedar. Saya perlu berjuang membela kehilangan Amri sedaya mampu. Saya ada keluarga, sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan. Itu juga dorongan yang kuat buat saya.”