
Ini merupakan majlis rumah terbuka Aidilfitri pertama Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir, selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Tetamu mula berkumpul seawal 8.30 pagi di pintu masuk Seri Perdana untuk menghadiri majlis yang berlangsung dari 10 pagi hingga 4.30 petang itu.
Sambutan kali ini agak berbeza kerana ia diadakan di Laman Sari, perkarangan Seri Perdana berbanding tahun lepas yang mana hos akan bersalamanan di dalam kediaman rasmi itu.
Cuaca panas tidak menjejaskan keterujaan orang ramai yang berbaris panjang dengan penuh sabar untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali yang memakai Baju Melayu dan baju kurung warna ungu.
Ketibaan Dr Mahathir disambut dengan sorakan gemuruh pengunjung.
Orang ramai turut diraikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Pertahanan Mohamamd Sabu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Turut menjadi tuan rumah ialah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Salahuddin Ayub dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.
Perkarangan Seri Perdana umpama lautan manusia yang mengambil peluang untuk saling memberikan ucap selamat kepada Dr Mahathir serta tetamu dihidangkan pelbagai juadah seperti sate, rendang, lemang, ketupat, nasi himpit dan nasi biryani.
Ketika melangkah pulang, hadirin diberi bungkusan cenderamata.
“Buggy” digunakan untuk membawa warga emas dan golongan kurang upaya ke khemah yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan minuman.
Polis turut melakukan pemeriksaan badan dan beg pelawat.
Disebabkan sambutan luar biasa, pintu pagar dibuka awal sejam (9 pagi) agar pengunjung tidak perlu beratur di luar dan menikmati juadah disediakan di 10 khemah makanan.
Setakat 11 pagi tadi, lebih 10,000 pengunjung hadir dan dijangka 70,000 orang akan menghadiri rumah terbuka itu, melebihi jangkaan awal 50,000 orang.
Bagi kemudahan orang ramai untuk menghadiri majlis tersebut, perkhidmatan bas percuma disediakan Bas Putrajaya dari 3 lokasi, iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra ke Seri Perdana.
Orang ramai boleh meninggalkan kenderaan masing-masing di 3 lokasi itu untuk menaiki bas yang disediakan dan mereka dinasihat menggunakan hentian bas sama untuk pergi dan balik.