
Melalui pantun bahasa Melayu yang disampaikan Vicki Treadell dalam satu rakaman video selama 1 minit 8 saat, beliau berharap rakyat Malaysia boleh melupakan kontroversi “rendang crispy” yang mencetuskan kemarahan rakyat negara ini.
“Sudah sebulan siap berpuasa, tiba masanya Syawal menjelma, jiran dan rakan, sanak saudara marilah kita menyambut bersama, salah silap saling dimaafi, termasuk episod rendang crispy, setulus ikhlas daripada kami, Selamat Hari Raya Aidilfitri,” kata Treadell yang berbaju kebaya nyonya merah dalam video itu.
Video yang dimuat naik ke Facebook Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur semalam, turut merakamkan suasana kakitangan suruhanjaya tinggi itu menikmati juadah tradisional tempatan sambil diiringi lagu “Sebulan sudah berpuasa”.
Pada awal April lalu, Zaleha yang menyediakan nasi lemak dan rendang ayam, tersingkir dalam pusingan suku akhir MasterChef UK kerana juri John Torode dan Gregg Wallace mengkritik kulit ayamnya “tidak garing”.
Ramai pengguna media sosial yang menyuarakan kemarahan mereka kerana tidak pernah dengar mengenai rendang ayam garing.
Insiden itu turut menyaksikan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan musuh politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetepikan perbezaan mereka untuk menyokong Zaleha.
Rendang ‘tak garing’, peserta Malaysia tersingkir dari MasterChef UK