
Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain berkata, beliau dipaksa meluluskan permohonan lot bazar daripada pemimpin Pemuda PPBM, Mohd Noorhisyam Abd Karim, selepas menerima surat sokongan Fong.
“Pada mulanya kami kata tidak, tetapi beliau (Noorhisyam) terus mendesak kami dan kami hanya mengalah selepas mendapat surat sokongan ahli Parlimen Bukit Bintang,” kata Anwar kepada The Star.
Anwar berkata demikian susulan laporan berhubung “skandal bazar Ramadan” di Jalan Masjid India membabitkan Noorhisyam, yang didakwa menyalahgunakan hubungan politiknya untuk mendapatkan 80 lot dan menyewanya pada harga setinggi RM5,000 bagi 1 lot.
“Kami juga bersetuju selepas beliau mendakwa hanya berbuat demikian untuk membantu orang miskin mendapatkan wang untuk Hari Raya.”
Anwar berkata, menurut laporan The Star, DBKL menjelaskan kepada Noorhisyam yang beliau perlu memastikan mendapat kerjasama pemilik premis di Jalan Masjid India.
“Tiada lagi ruang untuk lot baru di sana, tetapi kami benarkan mereka mendirikan gerai dekat kawasan Maybank, selagi ia tidak mengganggu aliran trafik.”
Katanya, DBKL membatalkan sistem lama peruntukan lot bazar bagi parti politik pada 2014. Sistem lama itu berdepan kontroversi, dengan pelbagai pihak mendakwa wujud rasuah dan nepotisme, menurut laporan itu.
The Star melaporkan pegawai DBKL sering didakwa menyalahgunakan kuasa dengan memberikan lot kepada kenalan dan kroni yang kemudiannya menyewa atau menjualnya kepada pembida tertinggi.
Laporan itu turut memetik Ketua PPBM Bukit Bintang, Zailani Isausuludin yang berkata, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu itu.