
Dalam kenyataanya, setiausaha biro undang-undang PPBM, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, dalam semua petisyen yang difailkan calon meminta pilihan raya kecil diadakan.
Kata beliau, 4 kerusi Prlimen terlibat ialah Tasek Gelugor di Pulau Pinang, Jempol di Negeri Sembilan dan Tapah serta Bagan Serai di Perak.
Sementara kerusi Dewan Undangan Negeri pula ialah Lubok Merbau dan Changkat Jong di Perak dan Kahang di Johor.
PPBM merupakan komponen gabungan Pakatan Harapan yang memenangi kerajaan persekutuan bulan lepas dan membentuk kerajaan negeri di Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan mempertahankan Selangor dan Pulau Pinang.
Dalam petisyen mereka, calon PPBM menyebut berlaku beberapa pelanggaran terhadap peraturan asas pilihan raya adil. Mereka juga berkata beberapa kesalahan dilakukan oleh pencabar masing-masing dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal menjamin proses pengundian yang bersih.
Pada 29 Mei lepas, SPR menggazetkan keputusan pilihan raya dan memberi pihak yang tidak berpuas hati tempoh 21 hari untuk memfailkan petisyen.
Tarikh akhir untuk memfailkan cabaran guaman itu tamat pada 18 Jun depan, tetapi FMT difahamkan peguam memfailkannya lebih awal minggu ini kerana cuti panjang sempena Hari Raya.
Tidak diketahui jumlah petisyen yang difailkan oleh DAP, PKR, Amanah, Barisan Nasional (BN) dan parti politik lain seperti Warisan di Sabah dan parti di Sarawak.
Semalam calon DAP, Liew Chin Tong memfailkan petisyen di mahkamah Johor Bharu mencabar keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam.
Liew kalah tipis 303 undi bagi membolehkan calon BN, Datuk Seri Wee Ka Siong mempertahankan kerusi tersebut setelah meraih 17,076 undi.
Calon PAS, Mardi Marwan mendapat 4,975 undi.
Pada 5 Jun, calon DAP M Manogaran yang tewas di kerusi Parlimen Cameron Highlands di tangan calon BN C Sivarraajh, memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya kerana dakwaan berlakunya kegiatan pembelian undi secara besar-besaran.
Beliau memohon perisytiharan mahkamah bahawa Sivarraajh bukan pemenang sah seperti dimaklumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya pada 9 Mei lepas.
Bagaimanapun Manogaran tidak secara jelas memohon diadakan pilihan raya kecil sekiranya permohonan beliau dibenarkan.
Dalam pertandingan 5 penjuru itu, Sivarrajh menang dengan majoriti 597 undi.
Sivarraajh mendapat 10,307 undi, Manogaran 9,710, Wan Mahadhir Wan Mahmud (PAS) 3,587 undi, Mohd Tahir Kassim (Berjasa) 81 dan Suresh Kumar (PSM) 680 undi.