NFCorp teruskan prosiding hina mahkamah terhadap Rafizi

NFCorp teruskan prosiding hina mahkamah terhadap Rafizi

Peguam NFCorp dan pengerusi eksekutif syarikat itu berkata, prosiding komital itu diteruskan kerana Rafizi Ramli enggan mengeluarkan artikel mengenai NFC daripada blog dan Facebooknya.

Free Malaysia Today
Rafizi Ramli tidak bersetuju dengan beberapa syarat dikemukakan Pengerusi Eksekutif NFCorp, Mohamad Salleh Ismail.
KUALA LUMPUR:
National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya akan meneruskan prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Rafizi Ramli selepas naib presiden PKR itu tidak bersetuju mengeluarkan artikel berhubung NFC daripada blog dan Facebooknya.

Peguam, Noor Farhah Mustaffa yang mewakili NFCorp dan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad hari ini yang turut dihadiri peguam Ng Siau San mewakili Rafizi.

Farhah berkata, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan secara baik prosiding komital itu, selepas Ng memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya tidak bersetuju dengan beberapa syarat dikemukakan Salleh, termasuk mengeluarkan artikel berhubung NFC daripada blog dan Facebooknya.

“Jika Rafizi bersetuju dengan syarat berkenaan, anak guam saya bersetuju menarik balik permohonan komital terhadapnya,” katanya.

Peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 24 Ogos untuk mendengar permohonan anak guamnya bagi memulakan prosiding komital terhadap Rafizi.

Pada 23 Mei 2017, Salleh dan NFCorp mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Rafizi selepas bekas ahli Parlimen Pandan itu sekali lagi menerbitkan artikel berhubung NFC, walaupun ada perintah mahkamah yang menghalangnya berbuat demikian.

Rafizi turut memohon mengetepikan prosiding menghina mahkamah yang diperoleh Salleh dalam kes saman difailkan Salleh dan NFCorp terhadap Rafizi berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.

Pada 31 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman difailkan Salleh dan NFCorp selepas mendapati Rafizi memfitnah mereka berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, dan memerintahkan Rafizi membayar ganti rugi RM200,000 kepada kedua-dua plaintif.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman Salleh dan NFCorp terhadap Malaysiakini, yang dinamakan sebagai defendan ke-2 dan memerintahkan plaintif membayar RM50,000 kepada portal berita itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.