Ku Li terima pandangan keluarga tanding jawatan presiden

Ku Li terima pandangan keluarga tanding jawatan presiden

Veteran Umno sudah menerima pandangan keluarga namun enggan mendedahkan keputusannya.

Free Malaysia Today
Tengku Razaleigh akan melakukan solat istikarah bagi mempertimbangkan tawaran bertanding jawatan presiden Umno.
KUALA LUMPUR:
Veteran Umno Tengku Razaleigh Tengku Hamzah enggan memberi jawapan muktamad berhubung keputusannya bertanding jawatan presiden Umno walaupun mendapat sokongan daripada akar umbi.

Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Ku Li berkata, tawaran untuk merebut jawatan itu telah dibincangkan dengan keluarganya.

Free Malaysia Today
Tengku Razaleigh ketika menghadiri program Wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman.

“Saya dah terima pandangan daripada keluarga, tapi saya tidak akan umum malam ini,” katanya ketika soal jawab dalam Forum Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.

Katanya, beliau akan melakukan solat istikarah bagi mempertimbangkan tawaran untuk bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti itu 30 Jun nanti.

“Saya fikir dari segi umur, tetapi soalnya, adakah saya terdaya atau tidak terdaya untuk pergi ke 190 kawasan dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, saya akan lakukan solat istikarah untuk memikirkan tawaran ini,” katanya.

Pada majlis sama, Ku Li turut mengumumkan Umno tidak akan membuka keahlian kepada bangsa lain, sebaliknya akan kekal menjadi parti untuk Melayu seperti asalnya.

“Umno akan kekal sebagai parti orang Melayu, kalau nak ubah mesti ubah menerusi gabungan dengan pihak lain,” katanya.

Terdahulu sebaik sahaja Ku Li tiba, beliau disambut dengan laungan hidup Melayu, takbir oleh lebih 500 penyokong yang hadir.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid; Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Sebelum ini Ku Li berkata, beliau sedia bertanding jawatan presiden jika ia mendapat sokongan penuh akar umbi.

Pencalonan untuk pemilihan parti akan ditutup pada 17 Jun ini, dan pengundian akan diadakan pada 30 Jun. Pemilihan ini berlaku selepas hampir 3 tahun selepas parti itu berjaya mendapatkan lanjutan tarikh akhir pemilihan.

Selepas Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan pada 12 Mei lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memangku tugas presiden. Manakala Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula memangku tugas timbalan presiden.

Zahid mengumumkan beliau akan bertanding jawatan presiden, manakala Hishammuddin mengumumkan dia tidak akan menyertai pertandingan kali ini, berkongsi tanggungjawab atas kekalahan parti itu dengan sepupunya, Najib.

Kedua-dua ahli politik itu ialah cucu pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan juga mengumumkan hasratnya bertanding jawatan timbalan presiden.

Adakah beliau akan bertanding? Ku Li minta bersabar

Jawatan presiden: Umno Gua Musang sebulat suara sokong Ku Li

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.