
Ongkili mempersoalkan setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin kerana membuat komen tentang isu itu tanpa fakta mencukupi bagi menyokong kenyataan beliau.
“Betulkan fakta anda dulu, hormatilah jawatan anda sebagai Ahli Parlimen,” katanya. Chan merupakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu.
“Jelas dia tidak tahu tentang projek saluran paip gas Kimanis-Sandakan,” kata Ongkili, dan menuduh Chan tidak matang berpolitik dan pemimpin DAP lain sebagai “ahli politik mentah dalam kerajaan”.
Maklumat kewangan projek itu dipersoalkan oleh Menteri Kewangan,Lim Guan Eng minggu lepas. Lim merupakan setiausaha agung DAP.
Ongkili berkata rancangan kerajaan ialah membina saluran paip gas dari Kimanis ke Sandakan, dan selepas itu ke Tawau, untuk membekalkan gas kepada industri dan penjanaan tenaga elektrik, bagi mengatasi masalah pergantungan 70% tenaga yang diimport dari grid negeri.
Projek berkenaan menelan belanja RM4.53 bilion dengan pembiayaan penuh kerajaan persekutuan.
Ongkili yang merupakan menteri tenaga, teknologi hijau dan air dalam kerajaan sebelum ini berkata hanya “orang yang sangat bodoh” akan menolong projek pembangunan berjangka panjang sedemikian.
Katanya bekalan gas daripada Petronas berjaya menggerakkan pengindustrian di pantai timur Semenanjung Malaysia, i tempat seperti Kuala Terengganu dan Kerteh.
Klien utama projek saluran paip gas itu ialah Petronas sebagai pembekal gas dan kementerian tenaga sebagai pengguna tenaga bahan api. Tetapi pelaksanaan projek, bajet dan kontrak merupakan tanggungjawab Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.
“Isu itu berada di luar bidang kuasa polisi dan seliaan kementerian,” katanya. “Chan sangat tidak bertanggungjawab dengan membuat tuduhan liar berhubung salah laku sedangkan beliau tidak tahu apa-apa mengenai projek tersebut.”
Ongkili, yang juga merupakan timbalan presiden Parti Bersatu Sabah dan Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, sebagai wakil Sabah dalam Kabinet kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, partinya menyokong penuh projek saluran paip gas itu kerana manfaatnya kepada rakyat negeri Sabah.
Chan menuntut kerajaan BN menjelaskan berkenaan projek itu dan berkata Ongkili sebelum ini menyokong projek berkenaan. Pendedahan kementerian kewangan berkaitan bayaran kontrak meragukan menunjukkan Ongkili bukan seorang anggota Kabinet bertanggungjawab, kata Chan.
Namun begitu Ongkili berkata dakwaan salah laku kewangan kementerian itu tidak dibuktikan melalui penyiasatan menyeluruh dan bebas. PBS tidak akan bersubahat dengan penyelewengan dan salah laku, katanya, dan mendesak proses undang-undang diikuti.