
Beliau memberitahu peserta persidangan tahunan Nikkei di Tokyo hari ini dia memulakan Proton dengan harapan syarikat itu akan kekal dimiliki rakyat tempatan.
“Sekarang ia dijual kepada syarikat China, jadi bukan kereta nasional lagi.
“Kita bercita-cita mahu mengeluarkan kereta nasional baru, mungkin dengan pertolongan rakan di Asia Tenggara seperti Thailand, Jepun atau Korea kerana mereka berkemampuan mengeluarkan kereta berkualiti yang laris di pasaran dunia,” katanya.
Tahun lepas, syarikat dari China, Zhejiang Geely menguasai 49.9% saham Proton, dengan baki 50.1% saham dipegang oleh DRB-Hicom, dalam satu urus niaga yang disokong oleh kerajaan sebelum ini.
Langkah itu menerima bantahan keras Dr Mahathir, yang setahun sebelum itu melepaskan jawatan penasihat Proton berikutan perselisihan antara beliau dengan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Semalam, ketika berucap kepada rakyat dan pelajar Malaysia di Jepun sempena lawatan pertamanya ke negara itu selepas memegang jawatan perdana menteri buat kali kedua, Dr Mahathir berkata, Malaysia akan berjaya sekiranya rakyat memiliki etika kerja, pemikiran dan sistem nilai seperti orang Jepun serta mempunyai perasaan malu jika mereka gagal melaksanakan tanggungjawab.
Dr Mahathir juga berkata ketika Dasar Pandang ke Timur pertama kali digubal ketika beliau menjadi perdana menteri pada era 80-an, ia bukan setakat untuk menarik pelaburan dari Jepun atau datang belajar di negara itu.