Khairy: Projek kereta nasional baru langkah mundur

Khairy: Projek kereta nasional baru langkah mundur

Ketua Pemuda Umno berkata, projek itu juga tidak mesra alam dari segi pembebasan karbon dioksida dan akan menelan kos besar yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan sistem pengangkutan awam.

Free Malaysia Today
Khairy Jamaluddin berharap keutamaan masa dan sumber dapat diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam.
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin menggesa Kabinet memperhalusi projek kereta nasional baru yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum meneruskannya kerana ia disifatkan langkah regresif dan terkebelakang.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, projek berkenaan tidak mesra alam dari segi pembebasan karbon dioksida dan akan menelan belanja besar – dana yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan serta menambah baik sistem pengangkutan awam.

“Melainkan projek kereta nasional baru ini akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya, saya tidak nampak kebaikan dan manfaatnya kepada rakyat, ekonomi negara dan alam sekitar.

“Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, perdana menteri dalam persidangan tahunan Nikkei di Tokyo mencadangkan pengeluaran kereta nasional baru selepas Proton diambil alih syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd yang mengambil alih 49.9% saham Proton dan baki 50.1% ekuiti dipegang DRB-Hicom.

Khairy berkata, kerajaan memberi pelbagai bantuan kewangan, termasuk pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada Proton sejak 1984.

“Projek kereta nasional seperti ini akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais mencecah 105% yang membebankan pengguna ingin membeli kereta jenama (lain) selain kereta nasional.

“Saya berharap keutamaan masa dan sumber dapat diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam seperti kerjasama dengan pihak swasta dalam menambah baik ‘last-mile connectivity’ seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal.

“Kajian menyeluruh dari segi kemungkinan (feasibility) termasuk bagaimana untuk mengurangkan kos untuk projek MRT3 dihidupkan semula pada masa akan datang atau dengan menggunakan sistem lebih menjimatkan kos seperti Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.