
Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata tidak ada salah parti ini hanya dianggotai orang Melayu, dan cadangan menjadikanya sebuah parti berbilang kaum berkemungkinan berpunca daripada “trauma” yang dialami pemimpinnya berikutan kekalahan Umno dalam pilihan raya umum 9 Mei.
“Mereka belum bersedia menerima sebab kekalahan itu, iaitu rakyat menolak kepimpinan Umno.
“Mereka masih saling salah-menyalah, lalu mencetuskan cadangan tidak berasas seperti itu,” katanya kepada FMT.
Awang berkata, cadangan menjadikan Umno sebuah parti berbilang kaum ialah seperti “menampal plaster pada lepuh”.
“Bila mereka gagal temui punca lepuh itu, keadaan akan menjadi lebih buruk.”
“Begitu juga masalah dan isu lain yang menjangkiti parti itu. Mereka boleh cari penyelesaian sementara, tapi lambat laun mereka perlukan penawar yang berkekalan.”
Minggu lepas, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mencadangkan parti itu membuka keahliannya kepada semua rakyat Malaysia sebagai salah satu usaha perubahan selepas pilihan raya umum.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mengambil pendirian sama bulan lepas dan berkata, masanya telah tiba untuk parti itu “menimbangkan semua pilihan secara serius” berikutan kekalahan teruk yang dialaminya.
Awang berkata, perubahan begitu mengambil masa panjang, seperti PKR yang hanya sekarang diterima sebagai parti pelbagai kaum.
“PKR ambil masa 20 tahun untuk muncul sebagai parti pelbagai kaum, namun begitu ia masih didominasi orang Melayu.
“Dan DAP, walaupun ia mendakwa sebagai parti pelbagai kaum, ia masih didominasi orang Cina.”
Katanya Umno perlu menimbangkan faktor itu, selain sejauh mana tarikannya dalam landskap politik yang sudah dipenuhi parti berbilang kaum.
“Ia tidak semudah membuka pintu keahlian kepada kaum lain.”
Awang juga mengkritik naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana tidak mahu bertanding dalam pemilihan parti itu, dan menyifatkannya sebagai mementingkan diri.
“Beliau mungkin tidak disukai semua orang, tetapi keputusan itu akan dilihat seperti meninggalkan perjuangan parti, selain mengecewakan penyokongnya sendiri,” katanya.
“Sedih kerana beliau tidak menghormati legasi yang ditinggalkan datuk dan ayahnya,” tambah beliau.
Awang berkata keputusan Hishammuddin itu juga menjadi faktor dalam krisis kepimpinan Umno, iaitu beliau tidak bertanggungjawab untuk “pergi begitu sahaja” sedangkan beliau tahu Umno sangat memerlukan bantuan daripada semua pihak.