
Bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas dari 1995 hingga persaraannya pada Februari 2010, Hassan mempunyai pengalaman 30 tahun dalam sektor tenaga, selain bidang kewangan dan pengurusan.
Kontrak Hassan dengan Petronas sebelum ini dipercayai tidak disambung oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir dalam pilihan raya 9 Mei lepas, Hassan dilantik menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin, bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, tokoh korporat, Tan Sri Robert kuok dan ahli ekonomi terkenal, Dr Jomo Kwame Sundaram.
Hassan merupakan pengerusi Sembcorp Marine Ltd dan penasihat kanan antarabangsa di Temasek International Advisors.
Beliau memegang ijazah kedoktoran kehormat daripada Universiti Malaya dan merupakan felo di Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales.