
Bekas pengerusi Otai Reformis Saari Sungib berkata, walaupun tujuan asal NGO itu hanyalah mengenai pembebasan Anwar, ia masih lagi relevan.
Adun Hulu Kelang itu berkata, ia akan menjadi relevan sekiranya mereka memainkan peranan menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini, tetapi juga mengambil sikap yang kritikal terhadapnya.
Katanya, antara contoh sikap kritikal ialah berhubung isu sesetengah pihak dalam PH yang mahukan jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Kita kena kritikal misalnya tentang keperluan ahli politik dalam GLC dan sebagai apa. Apakah sebagai ahli lembaga pengarah sebab nak dapat elaun? Itu kita kena pantau.
“Kecenderungan parti yang dah menang seperti Amanah, PKR, PPBM, DAP untuk mengambil habuan itu memang ada,” katanya kepada pemberita pada satu majlis anjuran NGO berkenaan, hari ini.
Pada 24 Julai tahun lalu, Saari mengesahkan beliau melepaskan jawatan sebagai pengerusi kumpulan aktivis 90-an itu, selepas sebahagian ahli kumpulan reformasi tersebut membantah pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi PH.
Dalam pada itu, 16 Mei lepas Anwar dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Saari mengakui terdapat desakan memintanya kembali memegang jawatan pengerusi kumpulan berkenaan.
Saari berkata beliau tidak mahukan jawatan berkenaan kerana lebih penting ahli yang menggerakkan Otai Reformis perlu menjadikannya bersikap kritikal terhadap kerajaan, tetapi setia pada dasar PH.
“Saya mahu wujudkan gerakan massa reformis yang ada tanggungjawab, dan tahu di mana nak sokong,” katanya.