Malaysia tak perlukan perjanjian Trans Pasifik, kata MTEM

Malaysia tak perlukan perjanjian Trans Pasifik, kata MTEM

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu berkata perjanjian itu memberikan kelebihan kepada syarikat korporat gergasi asing berbanding syarikat tempatan.

PETALING JAYA:
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata Malaysia tidak memerlukan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang menurutnya memberi kelebihan kepada syarikat korporat gergasi asing berbanding syarikat tempatan.

“Melalui kajian kami, kelebihan Malaysia lebih terhad dengan tiada penglibatan Amerika Syarikat dan kerajaan dahulu tidak membentangkan analisis kos faedah sebelum meneruskan dengan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Yazid Othman.

MTEM mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengkaji semula TPPA kerana percaya ia tidak memberi kelebihan kepada negara kecil seperti Malaysia.

Perdana menteri berkata perjanjian perdagangan itu, yang turut merangkumi Jepun dan Kanada, perlu mengambil kira tahap pembangunan negara terlibat.

“Kita harap menteri yang akan mengetuai Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri tidak akan bergantung kepada hujah pegawai MITI yang sayang CPTPP tapi mendengar hujah-hujah lain yang mementingkan kepentingan negara,” katanya.

MTEM berharap kerajaan tidak akan meratifikasikan undang-undang yang meneruskan CPTPP selagi kajian terperinci tidak dijalankan dan dibahaskan di Parlimen.

“Kerana ini soal kedaulatan dan kebebasan negara. Banyak janji Pakatan Harapan tidak dapat dilaksanakan sekiranya CPTPP telah dikuatkuasakan.

“Apa sahaja kelebihan perjanjian ini boleh dilakukan melalui perjanjian dengan negara-negara terlibat,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut tidak menolak Malaysia akan meninggalkan TPPA.

“Kalau Tun Mahathir berani membatalkan projek keretapi laju dengan Singapura (HSR), tidak mustahil Tun Mahathir akan bertindak sedemikian rupa,” katanya.

Selain Malaysia, 10 lagi negara yang mengambil bahagian dalam perjanjian ini ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Kerajaan mahu kaji semula perjanjian Trans Pasifik

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.