Esok keputusan siasatan penyelewengan kontrak tenaga solar sekolah

Esok keputusan siasatan penyelewengan kontrak tenaga solar sekolah

Maszlee berkata beliau maklum mengenai laporan media mengenai kemungkinan wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak perbekalan tenaga solar kepada sekolah di Sarawak.

Free Malaysia Today
Laporan media menyebut kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan akan mengumumkan keputusan berhubung isu penyelewengan pemberian kontrak perbekalan tenaga solar di sekolah di Sarawak, esok (Isnin).

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata keputusan yang akan diumumkan esok itu diambil pada Jumaat lepas (8 Jun) setelah pihaknya menjalankan siasatan terperinci mengenai kes tersebut minggu lepas.

“Saya maklum mengenai laporan oleh pihak media mengenai kemungkinan wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak perbekalan tenaga solar kepada sekolah di Sarawak.

“Saya menjalankan siasatan terperinci mengenai kes ini sejak minggu lepas dan pihak berkuasa berkaitan juga dimaklumkan. Satu keputusan tegas diambil pada Jumaat lalu dan keputusan ini akan saya umumkan secara rasmi esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan sebuah portal sebelum ini menyebut mengenai kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas, melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.