
Naib Presiden STAR, Feddrin Tuliang, mempersoalkan keikhlasan kerajaan negeri yang diterajui Warisan tentang memperjuangkan hak Sabah bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Beliau berkata senarai Kabinet negeri menunjukkan tiada kementerian baru dicipta, hanya perubahan nama, dan portfolio menunjukkan tiada pengagihan fungsi dari Putrajaya, walaupun Warisan menjanjikan pengagihan kuasa dalam kempen pilihan raya mereka.
Semasa menamakan Kabinet negeri bulan lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal mencipta 4 portfolio baru iaitu kementerian perdagangan dan industri; kesihatan dan kesejahteraan rakyat; pendidkan dan inovasi; dan undang-undang dan hal ehwal anak negeri.
Satu senarai tanggungjawab setiap kementerian yang didedahkan kepada umum baru-baru ini menunjukkan hak negeri Sabah hanya disebutkan bawah kementerian undang-undang dan hal ehwal anak negeri.
“Mana ada pengagihan fungsi dari Putrajaya seperti yang dijanjikan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dalam kempennya. Apa yang saya nampak cuma perubahan nama untuk fungsi-fungsi kerajaan negeri,” kata Tuliang.
“Ini membuktikan perasaan curiga kami iaitu Warisan tidak ikhlas memperjuangkan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia. Hubungan baik mereka dengan parti-parti Tanah Melayu akan mempengaruhi keputusan mereka tentang apa sahaja berkaitan Sabah.”
Ramai rakyat Sabah masih menggunakan nama Tanah Melayu untuk merujuk kepada Malaysia Barat.
Parti Warisan bersekutu dengan Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri dan di Parlimen. Tuliang berkata Pakatan Harapan tidak banyak berbeza dari Barisan Nasional.
Beliau berkata Warisan digunakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencapai agenda Putrajaya untuk terus menjajah Sabah dengan menggunakan rakyat Sabah yang akan tunduk pada Putrajaya.
“Mereka sedang bercakap tentang perubahan apa? Hakikatnya, misi Tanah Melayu menjajah Sabah masih diteruskan. Keadaan tidak bertambah baik untuk Sabah tetapi semakin teruk,” katanya.
Beliau menuduh Shafie sama ada tidak tahu bagaimana memperjuangkan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia atau tidak berniat pun untuk melakukannya.