
Bercakap kepada FMT, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, projek mungkin tertangguh dan pemaju dikenakan penalti lewat disebabkan kekurangan pekerja.
Konsumer juga mungkin terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk sayur-sayuran jika kebun kecil kurang pekerja, katanya.
Shamsuddin menyokong keputusan kerajaan mahu mengambil tindakan tegas terhadap pekerja asing tanpa permit, “tetapi jika sistem untuk mengambil pekerja asing sah susah dan mahal, sesetengah majikan akan mengambil risiko dengan mengupah pekerja tanpa dokumen sah yang mungkin ada dan dengan jumlah yang besar.
“Dianggarkan bagi setiap seorang pekerja asing sah, terdapat 2 atau 3 orang pekerja asing tidak sah, dan tidak semua mereka mempunyai pekerjaan,” katanya. Ramai daripada mereka menjalankan perniagaan di kompleks beli belah dan premis lain.
Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu program penggajian dan penempatan semula pendatang tanpa izin kerajaan akan ditamatkan. “Kita tidak akan menghalalkan apa yang tidak halal,” katanya.
Shamsuddin berkata, pekerja tanpa izin hendaklah dihantar pulang serta-merta dan tidak ditahan di pusat tahanan dengan kos RM75 sehari bagi setiap seorang ditanggung oleh kerajaan.
Beliau juga mencadangkan langkah “penjenamaan semula” bidang pekerjaan bagi menjadikannya lebih menarik kepada rakyat Malaysia.
“Misalnya, tidak ramai rakyat tempatan mahu dilabelkan sebagai tukang cuci atau tukang sapu, jadi kita boleh jenamakan semula pekerjaan ini sebagai pembantu persekitaran bagi menjadikannya lebih diterima masyarakat. Pekerja juga perlu mendapatkan kemahiran untuk melakukan pekerjaan begitu, yang mungkin melibatkan pengendalian mesin yang canggih.
“Kemahiran itu perlu disahkan. Ada keperluan mendesak untuk menghubungkan gaji pekerja tempatan dengan kemahiran yang disahkan,” katanya.
Shamsuddin menggesa kerajaan memastikan proses pengambilan pekerja asing lebih jelas dan tidak mahal.
Katanya polisi kerajaan kerap berubah dan selalunya didasarkan kepada reaksi sentak terhadap keadaan, sementara majikan pula tidak diberikan masa mencukupi untuk menyesuaikan diri.
Majikan terpaksa membayar kos tinggi setiap kali kerajaan menswastakan sebahagian daripada proses tersebut.
“Contohnya, dalam program penggajian semula, majikan perlu melalui 3 penyedia perkhidmatan yang dilantik dan terpaksa membayar lebih untuk perkhidmatan yang sepatutnya disediakan oleh imigresen,” kata beliau.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada rakyat, terutama mereka daripada pusat latihan yang berdaftar di bawah Khidmat Negara.
Beliau berkata, agensi pekerja asing patut ditutup “kerana cara operasi mereka lebih menyerupai kegiatan penyeludupan manusia.”
Katanya MTUC sekian lama mengkritik pengambilan pekerja asing kerana ia menyebabkan masalah sosial. Bagaimanapun majikan tidak bertanggungjawab menggemari mereka kerana gajinya murah.
Malaysia ada tenaga kerja yang mencukupi, katanya. “Kita mempunyai kadar pengangguran setinggi 3.7%, tetapi kita juga ada 1.5 juta pekerja asing sah dan kira-kira 1.5 juta lagi yang tidak ada dokumen,” katanya.
Perlu ditetapkan syarat ke atas majikan mendapatkan kebenaran Kementerian Sumber Manusia sebelum mengambil pekerja asing.