
Kementerian Kewangan berkata peruntukan diumumkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini sekadar pengumuman semata-mata.
“Ada pihak berpendapat peruntukan permohonan tambahan telah disediakan dalam Bajet 2018 kerana mantan perdana menteri mengumumkan bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam dalam Ucapan Bajet 2018 tahun lepas pada 27 Oktober 2017.
“Tetapi sebenarnya, peruntukan bagi pengumuman bayaran tersebut tidak disediakan dalam Bajet 2018. Perkara ini disahkan oleh Pejabat Akauntan Negara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bilangan 5 Tahun 2017 berkaitan perkara tersebut dibatalkan dan diganti dengan SPANM Bilangan 1 Tahun 2018.
Akauntan Negara Datuk Saat Esa juga mengesahkan peruntukan tersebut perlu diluluskan dalam sidang Parlimen pada Julai 2018 ini sebagai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2018.
Pada 30 Mei lepas, Dr Mahathir mengumumkan bantuan khas perayaan berjumlah RM400 bagi kakitangan awam Gred 41 ke bawah dan RM200 untuk pesara kerajaan.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng kemudian memaklumkan bantuan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM700 juta akan dibentang menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan pada sidang Parlimen Jun ini.