Pengumuman jenama semula NFC dijangka bulan depan

Pengumuman jenama semula NFC dijangka bulan depan

Salahuddin Ayub berkata langkah penjenamaan termasuk memberi nama lain bagi menghidupkan semula projek itu yang terjejas ekoran kontroversi melanda NFC sebelum ini.

Free Malaysia Today
Katanya penjenamaan semula projek itu perlu dilakukan segera dalam usaha kerajaan mencapai sasaran meningkatkan penghasilan daging tempatan.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dijangka mengumumkan penjenamaan semula projek Pusat Fitlot Nasional (NFC) secara rasmi bulan depan dalam usaha memulihkan kembali fungsi dan operasinya.

Menteri berkenaan Salahuddin Ayub berkata langkah penjenamaan termasuk memberi nama lain bagi menghidupkan semula projek itu yang terjejas ekoran kontroversi melanda NFC sebelum ini.

Katanya penjenamaan semula projek itu perlu dilakukan segera dalam usaha kerajaan mencapai sasaran meningkatkan penghasilan daging tempatan sebanyak 30% sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.

“Kita akan teruskan idea asal NFC yang akan dijenamakan semula. Ada nama lain yang akan disiarkan nanti bagi mendapatkan operator baru yang berkebolehan dan benar-benar berminat serta berkeupayaan untuk menjayakan projek ini.

“Saya telah meminta pihak Ketua Setiausaha kementerian untuk membuat kertas cadangan dalam tempoh sebulan,” katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama di pejabatnya.

Beliau berkata sebelum pengumuman rasmi dibuat, cadangan penjenamaan semula projek itu akan dibentangkan kepada kabinet dan persidangan Dewan Rakyat apabila Parlimen ke-14 mula bersidang bagi mendapatkan peruntukan mencukupi untuk melaksanakan projek tersebut.

Salahuddin yang baru 2 minggu menggalas tanggungjawab menerajui kementerian itu berkata langkah membangunkan semula projek berkenaan merupakan tindakan praktikal dan realistik pada masa ini dalam meningkatkan pengeluaran daging tempatan.

Beliau berkata keputusan pemilihan pengusaha akan dilakukan menerusi penilaian dibuat bersama kumpulan pakar dari dalam dan luar kementerian berkenaan yang dianggapnya boleh memberikan pandangan konstruktif terhadap usaha itu.

Pembangunan NFC bermula pada 2007 dikendalikan oleh NFCorp bagi membangunkan projek memantau, membimbing dan memupuk petani kontrak.

Namun, timbul kontroversi apabila Pengerusi Eksekutif NFCorp Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail iaitu suami kepada Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disiasat dan didakwa atas 2 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan RM49.7 juta.

Mahkamah melepaskan dan membebaskan Mohamad Salleh daripada semua pertuduhan jenayah pada 25 November 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.