Malaysia dah baharu, tapi rakyatnya ditakuk lama

Malaysia dah baharu, tapi rakyatnya ditakuk lama

Tidak perlu menyempitkan pemikiran dengan mempersoalkan keupayaan untuk memerintah negara kerana kerajaan baharu ini memberi jaminan untuk menjaga kebajikan serta dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Ibarat peribahasa “rumah sudah siap, pahat masih berbunyi’.

Begitulah situasi yang melanda masyarakat negara ini, pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional.

Meskipun rakyat membuat pemilihan melalui amalan demokrasi yang cukup santun malah dikagumi negara luar, namun masih ramai yang belum ‘habis cerita’ menegakkan hujah masing-masing.

Tidak kira sama ada berpihak kepada kerajaan mahupun pembangkang, pendek kata ramai yang masih belum berpuas hati, terus berbalah dan menjadikan media sosial sebagai “medan pertarungan”. Malah ada yang sanggup memaki hamun kawan sendiri dan sanggup memutuskan tali silaturrahim hanya kerana berbeza haluan politik.

Inikah Malaysia Baharu yang kita inginkan? Mahu serba-serbi baharu tetapi diri sendiri masih di takuk lama dan enggan berubah!

Elak hasutan, prejudis

Berkongsi pandangan, penganalisis politik Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata masyarakat sepatutnya bersifat lebih matang dan mengelakkan sesuatu yang berunsur hasutan serta prejudis dalam memberi komentar mengenai kerajaan mahupun pembangkang.

Ini kerana ia bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham bahkan mewujudkan suasana tidak harmoni serta perbalahan di kalangan rakyat.

“Sesuatu yang amat merugikan apabila banyak masa dihabiskan untuk bertelagah dan cuba menegakkan hujah masing-masing sedangkan setiap individu perlu menghormati pandangan orang lain.

“Janganlah membuat kenyataan yang sengaja ‘mengundang’ sekaligus mencetuskan konflik dalam masyarakat. Adalah lebih baik sekiranya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati memberikan kritikan membina serta cadangan penambahbaikan daripada hanya pandai mengutuk dan mencari kesalahan secara membuta tuli,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah, rakyat juga wajar memberi kepercayaan kepada kerajaan baharu untuk melaksanakan tanggungjawab termasuk menunaikan janji mereka seperti yang terkandung dalam manifesto PRU14.

Tidak perlu menyempitkan pemikiran dengan mempersoalkan keupayaan untuk memerintah negara kerana kerajaan baharu ini memberi jaminan untuk menjaga kebajikan serta dan kesejahteraan rakyat dan negara.

“Terdapat segelintir masyarakat yang masih berfikiran negatif terhadap perubahan yang ingin dibawa kerajaan baharu sedangkan di negara-negara maju turut melalui proses transisi (perubahan kuasa) sebegini.

“Tidak adil untuk mengkritik kerajaan dalam waktu yang singkat ini. Apa yang lebih utama rakyat perlu bersatu membantu memajukan negara serta menghadapi apa jua cabaran dan ancaman dari dalam dan luar. Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan sekarang, rakyat mempunyai kuasa untuk menentukannya pada PRU15 nanti,” katanya.

Beri masa

Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Dr Hairol Anuar Mak Din berkata rakyat perlu menerima hakikat bahawa proses peralihan kuasa telah berlaku, justeru perlu memberi tempoh kepada kerajaan baharu untuk melakukan perubahan atau penambahbaikan.

Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan PRU14 yang menyaksikan PH mengambil alih kerajaan persekutuan secara keseluruhan adalah suatu perkara besar.

Untuk itu, tambah beliau, perubahan tidak boleh dilakukan secara drastik dan setiap perancangan perlu dilakukan secara berhati-hati.

Selain itu, bukanlah satu kemestian untuk kerajaan memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya kerana apa yang lebih penting kerajaan perlu melihat kepada realiti semasa baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Hal ini kerana sebarang keputusan politik bakal mempengaruhi keyakinan rakyat dan dunia luar khususnya para pelabur tentang keupayaan kerajaan baharu ini untuk mentadbir negara. Sebarang perubahan terhadap dasar kerajaan terdahulu perlu dikaji terlebih dahulu manakala pengenalan terhadap dasar baharu pula perlulah bersesuaian.

“Tindakan merealisasikan manifesto bukanlah semata-mata terhad dalam tempoh 100 hari. Perkara ini memerlukan penelitian agar keputusan terhadap pelaksanaannya tidak bersifat populis dan hanya sementara namun bermanfaat untuk tempoh masa panjang. PH diberi masa 5 tahun untuk memerintah negara dan tempoh ini memadai untuk mereka memenuhi janji di dalam manifesto,” katanya.

Hairol Anuar pada masa sama turut berpendapat sebarang tindakan terhadap salah laku kerajaan terdahulu perlulah dibuat mengikut lunas undang-undang dan bukan berdasarkan dendam politik semata-mata.

Kegagalan serta sikap gelojoh dalam memberikan sebarang kenyataan politik juga boleh mengundang situasi tidak tenteram kepada rakyat dan negara.

“Isu politik khususnya yang melibatkan kerajaan dan kepimpinan terdahulu perlu ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan sebarang unsur prejudis yang boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.