
“Saya tidak pertikai. Saya hanya berkata raja-raja tidak perlu jaminan atau keselesaan kerana kedudukan mereka dijamin oleh Perlembagaan,” katanya dalam catatan blog hari ini.
Semalam, Anwar mengkritik Kadir, yang bertanggungjawab urusan media dan komunikasi dalam Majlis Penasihat Kerajaan, kerana menggunakan kedudukannya untuk menyerang raja Melayu dengan fakta yang boleh dipertikaikan.
“Kita menghormati hak semua orang untuk menyatakan pandangan, tetapi mereka perlu menunjukkan rasa hormat dan dibuat secara tertib,” kata Anwar selepas pertemuan dengan wakil rakyat PKR malam tadi.
Kadir berkata isu menggunakan kedudukannya tidak timbul memandangkan penulisan blog beliau adalah atas kapasiti peribadinya dan tidak mewakili majlis yang disertainya.
Kadir bagaimanapun enggan mengulas lanjut kritikan Anwar, tetapi menggesa artikelnya dibaca sekali lagi.
“Saya serahkan kepada para pembaca dan pembahas mengadili saya berdasarkan ‘kritikan’ Anwar itu dengan membaca balik dan memahami hujah saya mengenai hal berkenaan,” katanya.
Dalam artikel di blognya baru-baru ini, Kadir mempersoalkan usaha untuk meyakinkan raja Melayu mengenai status mereka.
Kadir turut menyifatkan Anwar bertindak seperti “seorang komisar politik” disebabkan siri jelajahnya ke beberapa istana negeri.
“Dalam sistem komunis, komisar politik lebih berkuasa daripada satu batalion tentera,” tulisnya.
Menurut Kadir, pelbagai kemudahan termasuk perbelanjaan mencecah sehingga RM257 juta untuk Yang Di-Pertuan Agong sejak 16 bulan lalu adalah bukti kedudukan mereka tidak diancam.
“Saya rasa raja-raja yakin seperti sebelum ini. Mengapa tidak? Mereka dijamin oleh Perlembagaan, diberikan kemewahan, kaya dan Anwar pun mencium tangan mereka!” tulis Kadir.
Ketika ditanya wartawan mengenai jumlah RM257 juta yang disebut Kadir, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau perlu mengkaji dakwaan itu.