
Pengerusi Umno Pahang itu berkata Umno perlu sedia untuk mengubah dasar dan perlembagaan parti bagi menjayakan transformasi penuh.
“Ini bukan sesuatu yang mudah. Kita sebut tranformasi, sebut perubahan, kita kena fikir luar kotak, kita kena fikir perkara yang tak pernah difikir. Kita fikir mustahil BN kalah tapi BN kalah, maknanya tidak ada perkara yang mustahil,” katanya pada sidang media di Hotel Sri Pasifik hari ini.
“Pimpinan Umno yang dipilih selepas ini mesti berfikir di luar kotak, seperti mungkin kita ikut balik cara Datuk Onn Jaafar Umno iaitu perlu dibuka kepada semua kaum.”
Ini bermakna tidak ada lagi keistimewaan untuk Bumiputera dan semua kaum perlu dilayan sama rata.
“Hak istimewa bermakna untuk orang susah. Kalau Melayu susah, tolong Melayu. Kalau Cina susah, tolong Cina. Kalau India susah, tolong India. Maknanya perlembagaan Umno kena dikaji semula,” tambahnya.
Beliau bagaimanapun berkata parti itu masih perlu mempertahankan kedudukan Islam dan raja-raja Melayu.
“Dua perkara tak boleh kompromi, Islam dan raja-raja Melayu. Kita wajib pertahankan sama-sama,” katanya.
Pemilihan dijangka tak sengit
Sementara itu, mengulas pemilihan Umno yang bakal dijalankan 30 Jun ini, Adnan menjangkakan pertandingan yang tidak sengit.
“Sebab tak ada apa nak rebut. Menang jadi presiden parti bukan boleh jadi perdana menteri,” katanya.
Beliau berkata ramai pemimpin Umno layak menjadi presiden seperti veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Saya ada dengar angin-angin beliau akan bertanding tapi katanya beliau tak nak. Kalau beliau nak, senario dia lain pula, kita kena pakat,” katanya.
Sekarang ini, tugas-tugas presiden parti disandang Datuk Seri Zahid Hamidi, selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan berikutan kekalahan Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei.