SPRM serbu DBKL, rampas dokumen jualan tanah

SPRM serbu DBKL, rampas dokumen jualan tanah

Sumber mengatakan SPRM mengambil dokumen dari Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan.

Free Malaysia Today
Dua dari 8 troli yang dipenuhi dokumen yang diambil SPRM. (gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merampas dokumen yang dikaitkan dengan jualan 64 lot tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur antara 2014 dan 2018, menurut sumber di pihak berkuasa tempatan itu.

Menurut sumber, pasukan dari SPRM tiba pada 2.00 petang tadi dan berada selama 3 jam di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan di Ibu Pejabat DBKL di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, sementara kakitangan sedang menyusun dokumen.

“Mereka ambil beberapa fail, saya tak pasti berapa banyak, tapi berkaitan dengan jualan tanah,” kata sumber itu.

Serbuan oleh SPRM itu beberapa hari selepas Datuk Bandar Tan Sri Amin Nordin Abd Aziz mengesahkan pegawai mengunjungi DBKL untuk menyiasat urus janji tanah, ketika di bawah bekas menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bulan lepas, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mendakwa DBKL menjual 64 lot tanah bernilai RM4.28 juta sejak 2013 tanpa terbuka terbuka.

Lim berkata kebanyakan pembeli belum membayar premium tanah walaupun bangunan sudah dibina dan terjual, dan ramai juga belum membayar caj pembangunan.

Wakil rakyat DAP itu berkata Amin memberitahu tanah itu dijual untuk mengutip dana bagi operasi DBKL.

Sementara itu, Amin berkata DBKL akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM kerana “tiada apa untuk disembunyikan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.