Shahrizat tak pertahan jawatan ketua Wanita Umno

Shahrizat tak pertahan jawatan ketua Wanita Umno

Shahrizat berkata, beliau mengambil serius suara lantang rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam Umno, serta memberi peluang kepada muka baharu mengetuai sayap itu.

Free Malaysia Today
Shahrizat berkata, Wanita Umno mempunyai ramai pemimpin berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan ketua Wanita Umno pada pemilihan parti akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil serius suara lantang rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam Umno, selain memberi peluang kepada muka baharu mengetuai sayap itu.

“Wanita Umno mempunyai ramai pemimpin berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga.

“Saya yakin jika mereka diberi peluang untuk memimpin Wanita Umno, mereka akan menjalankan tugas dengan baik, terutamanya untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusannya itu sudah dimaklumkan pada mesyuarat exco sayap itu hari ini.

Shahrizat turut menyeru semua ahli Wanita Umno, terutama di peringkat akar umbi supaya mengekalkan semangat perjuangan selaku tulang belakang dalam parti.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada lebih 1.3 juta ahli Wanita Umno kerana memberinya peluang, kepercayaan dan kesetiaan untuk memimpin pergerakan itu.

“Sokongan dan perpaduan ahli Wanita Umno yang memungkinkan saya menjalankan tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf jika dalam saya menjalankan tugas selaku ketua Wanita Umno, saya terkasar bahasa atau tersilap langkah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.