Rosmah tiba di SPRM untuk soal siasat

Rosmah tiba di SPRM untuk soal siasat

Rosmah turut ditemani anak perempuannya, Nooryana Najwa dan menantu, Daniyar Kessikbayev.

Free Malaysia Today
Rosmah tiba di ibu pejabat SPRM dengan diiringi 2 peguam hari ini. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat berhubung siasatan berkaitan 1MDB.

Rosmah tiba pada jam 10.45 pagi dengan kereta Mercedes-Benz berwarna perak, sambil ditemani anak perempuannya, Nooryana Najwa dan menantu, Daniyar Kessikbayev serta 2 peguam, K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent.

Rosmah yang berbaju kurung biru dan selendang merah, kelihatan tenang dan sempat bersalaman dengan media yang tunggu di perkarangan ibu pejabat SPRM sejak 7 pagi tadi.

Difahamkan, Rosmah melantik satu lagi pasukan peguam untuk membantunya dalam siasatan SPRM hari ini.

Beliau menjadi tumpuan media sejak polis menggeledah kediamannya yang menyaksikan rampasan lebih 300 beg tangan, kebanyakannya jenama mewah seperti Hermes Birkin.

Beliau dan Najib dipanggil memberi keterangan dalam siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB dan RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib pada 2012.

Najib disoal SPRM mengenai SRC International sebanyak 2 kali, iaitu pada 22 dan 24 Mei lalu yang keseluruhannya mengambil masa lebih 11 jam.

Bekas menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, menafikan sebarang salah laku berkaitan syarikat pelaburan itu.

Pada 26 Januari 2016, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib dalam kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

SRC International yang ditubuhkan pada 2011, kini di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang turut memiliki 1MDB.

SPRM selesai ambil keterangan saya, kata Najib

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.