DAP Cameron Highlands cabar keputusan PRU14 dimenangi calon BN

DAP Cameron Highlands cabar keputusan PRU14 dimenangi calon BN

Calon PKR M Manogaran mendakwa calon BN C Sivarraajh merasuah pengundi komuniti Orang Asli di kawasan itu.

Free Malaysia Today
M Manogaran berkata keputusan PRU14 itu bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Calon DAP kerusi Parlimen Cameron Highlands M Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan pilihan raya kawasan itu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivarraajh.

Managoran, 59, selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu menerusi Tetuan Kumar Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi semalam dengan menamakan Sivarraajh sebagai responden.

Manogaran memohon perisytiharan keputusan pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Berdasarkan petisyen itu, Manogaran mendakwa Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail iaitu Adun Jelai yang kini menteri besar Pahang, memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon-calon lain dengan kawasan itu menyaksikan pertembungan 5 penjuru.

Manogaran juga mendakwa Wan Rosdy, yang merupakan Adun Jelai bagi 3 penggal berturut-turut sejak PRU11, amat terkenal di kalangan pengundi di kawasan itu.

Wan Rosdy juga didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli yang sejak dahulu kurang mempercayai orang luar, katanya.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh undian sebanyak 10,307 untuk menewaskan 4 calon lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.