
“Amalan dan corak berpolitik, berorganisasi, bekerja, bermasyarakat yang sudah menjadi kebiasaan, namun telah menjadi kurang relevan, sewajarnya diperbaharui secara total bagi memacu teras utama agenda perjuangan kita demi agama, bangsa, rakyat dan negara tercinta.
“Saya dengan penuh rasa bertanggungjawab serta rendah diri ingin berkongsi semangat, idea dan tenaga bagi memastikan parti keramat kita, iaitu Umno terus diperkasakan dengan penuh kejujuran dan keinsafan untuk memperoleh kembali kepercayaan majoriti rakyat umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahdzir yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mengharapkan sokongan akar umbi parti untuk memenangi kerusi nombor 3 itu.
“Sokongan saudara dan saudari perwakilan di semua peringkat kepimpinan Umno untuk memberikan kepercayaan kepada saya amatlah dihargai. Ayuh kita bangkit bersama-sama memperbaharui agenda perjuangan Umno,” kata ahli Parlimen Padang Terap itu.
Mahdzir ialah calon ke-3 berhasrat merebut 3 kekosongan jawatan itu, selepas bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.