Jamal tawar diri rebut jawatan ketua Pemuda Umno ketika diburu polis

Jamal tawar diri rebut jawatan ketua Pemuda Umno ketika diburu polis

Jamal ialah calon ke-3 merebut jawatan ketua Pemuda Umno, selepas Khairul Azwan Harun dan Asyraf Wajdi Dusuki.

Free Malaysia Today
Jamal Yunos berkata, tujuan beliau bertanding jawatan itu untuk membina semula semangat perjuangan ahli Umno selepas kekalahan mengejut BN pada pilihan raya umum lalu.
PETALING JAYA:
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang masih diburu polis selepas gagal menyerah diri di balai polis, mahu bertanding jawatan ketua Pemuda dalam pemilihan parti tahun ini.

Katanya, tujuan beliau berbuat demikian untuk membina kembali semangat perjuangan ahli Umno selepas kekalahan mengejut Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Saya Jamal Md Yunos menawarkan diri bertanding sebagai calon untuk jawatan ketua Pemuda Umno bagi penggal 2018-2021.

“Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Umno.

Jamal ialah calon ke-3 merebut jawatan ketua Pemuda Umno ditinggalkan Khairy Jamaluddin, selepas Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan, mengambil keputusan melepaskan jawatan ketua Pemuda untuk bertanding jawatan naib presiden Umno.

Kelmarin, Mahkamah Majistret Ampang mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, polis sudah memberi masa secukupnya kepada Jamal untuk menyerah diri di balai polis bagi membantu siasatan beberapa kes.

Jamal hilang dari Hospital Pakar Ampang Puteri, di mana beliau menerima rawatan sakit belakang, ketika polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi jaminan mahkamah, selepas didakwa atas 3 pertuduhan di depan seorang majistret pada 25 Mei lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Zahid bertanding presiden Umno, Khairy intai jawatan naib presiden

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.