
“Yang melepaskan sehingga kita kalah di ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) dulu adalah disebabkan kerajaan BN. Sekarang ini kerajaan PH, bermakna kalau dia hendak minta pendirian, kena tanya dahulu siapa mentadbir pada masa Pedra Branca diserahkan pada Singapura.
“Kenapa hendak jolok saya pula? Kena tanya pemimpin Umno Johor dulu kenapa dia lepaskan, bukan PH punya kerajaan yang lepaskan. Sekarang ini dia pusing pula macam kita ini yang melepaskan,” katanya kepada FMT hari ini.
Osman berkata, kerajaan Johor akur dengan keputusan Putrajaya tidak meneruskan prosiding mencabar keputusan ICJ ke atas kedaulatan Pedra Branca.
Beliau percaya kerajaan persekutuan membuat keputusan itu selepas melakukan kajian dan penelitian ke atas isu kedaulatan Pedra Branca.
“Pertamanya, saya kurang arif tentang sejarah dan perjalanan Batu Puteh semasa dibawa ke ICJ dulu sebabnya saya masih baru. Saya mengikuti, tetapi tidak secara mendalam.
“Keduanya, kalau itu keputusan kerajaan persekutuan bermakna mereka lebih mengetahui dalam soal ini, bermakna saya kena akur.
“Saya kerajaan negeri di bawah kuasa kerajaan persekutuan, kena akur dengan kerajaan persekutuan sebabnya mesti mereka sudah lakukan kajian dalam mengambil keputusan untuk tidak meneruskan prosiding,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan kecewa dengan sikap acuh tidak acuh kerajaan negeri dan menteri besar Johor yang membisu dengan keputusan itu.
Bekas menteri besar Johor itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan persekutuan tidak memberikan alasan kukuh terhadap keputusan itu yang dibuat ketika peguam negara bercuti.
Osman percaya desakan Khaled itu bersifat populis demi menagih simpati rakyat Johor.
“Khaled ini sudah tidak ada kerja, dia sudah meroyan jadi macam-macamlah yang dia katakan. Isu ketua kampung yang kecil pun tuduh, kata saya kejam.
“Umno Johor kini hendak mencari populariti murahan. Dalam soal ini, rakyat boleh menilai kredibiliti kerajaan lepas, itu sahaja. Jangan hendak tunjuk hero.”
Rabu lalu, Kementerian Luar Singapura dilaporkan berkata, ICJ memaklumkan prosiding dalam 2 kes dikemukakan Malaysia terhadap republik itu berhubung penghakiman asal pada 2008 dalam kes membabitkan kedaulatan Pedra Branca, tidak diteruskan.
Singapura berkata, Malaysia pada 28 Mei lalu memaklumkan ICJ yang ia tidak akan meneruskan prosiding dimulakannya sebelum ini.
Kes pertama membabitkan permohonan Malaysia bagi semakan semula penghakiman asal ICJ mengikut Perkara 61 Statut ICJ yang difailkan pada 2 Februari 2017, manakala kes ke-2 membabitkan permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman asal ICJ mengikut Perkara 60 Statut ICJ yang difailkan pada 30 Jun 2017.