Anda perlu dikenali untuk miliki beg tangan Birkin

Anda perlu dikenali untuk miliki beg tangan Birkin

Anda tidak boleh pergi ke kedai dan meminta untuk membelek beg tangan itu. Pertama sekali, anda mesti dikenali atau mengenali seorang pengguna Birkin.

Free Malaysia Today
Membeli beg tangan Birkin tidak semudah pergi ke kedai dan bertanyakan tentangnya. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Apakah yang membuat beg tangan Hermes Birkin sangat diingini? Antaranya kerana bukan semua orang boleh memilikinya: Anda tidak boleh dengan mudah memasuki kedai Hermes dan meminta untuk membelek sebuah Birkin.

Banyak cerita tersebar tentang pelanggan membuat tempahan dan hanya diberitahu mereka dalam senarai menunggu, tetapi desas-desus itu belum terbukti kebenarannya.

Seorang pakar industri yang tidak mahu dinamakan memberitahu FMT bahawa dasar yang tidak dinyatakan oleh jenama terkenal itu ialah mengekalkan kerahsiaan tentang cara seseorang boleh membeli beg tangan Birkin.

“Jika anda memasuki kedai dan bertanyakan tentangnya, mereka tidak akan memberitahu jika beg tangan itu ada atau tidak. Ini satu taktik pemasaran yang mereka amalkan untuk menjadikan Birkin lebih diingini.

“Sesetengah kakitangan jualan yang lebih baik hati akan beritahu, anda perlu tunggu 3 tahun atau lebih. Walaupun mereka mempunyai stok di bilik stor, mereka tidak akan mengeluarkannya melainkan anda adalah orang yang mereka sudah kenali – contohnya, seorang pengguna Birkin yang diraikan, atau kawan kepada seorang pengguna Birkin.”

Jika tidak, pakar industri itu berkata, kemungkinan besar seseorang tidak pernah melihat walau sekilas pun beg tangan Birkin itu.

Kesukaran ini sahaja menyebabkan beg tangan Birkin sangat diingini sehingga pelanggan sudi membayar minimum RM50,000 untuk sebuah beg.

Setiap beg tangan Birkin diperbuat daripada kulit buaya dan mempunyai tempoh masa berbeza untuk disiapkan.

Ada ketikanya, pelanggan perlu membuat tempahan lebih awal kerana Hermes akan mengambil masa yang lama untuk memperoleh kulit untuk beg tangan itu.

Hari ini, dipercayai kulitnya diperoleh daripada buaya ternakan bagi mempercepatkan proses pembuatan. Pengkritik mendakwa penternakan buaya mencegah kepupusan haiwan itu.

Hermes Malaysia tidak mahu mengulas tentang beg Birkin dan bagaimana untuk membelinya.

Sumber FMT berkata tidak dapat disahkan sama ada beg Birkin benar-benar diperbuat daripada kulit buaya ternakan. Namun Hermes sebelum ini pernah dikritik aktivis hak haiwan.

“Mereka sebelum ini pernah didedahkan kerana mengeksploit seluruh penternakan buaya itu untuk dapatkan kulitnya. Atas sebab itu, Hermes pernah dikecam oleh badan pencegahan kezaliman haiwan, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA).

“Tetapi orang masih mahu membeli beg tangan itu sama ada ia menggunakan kulit buaya atau tidak kerana koleksi Birkin didatangkan dalam pelbagai jenis kulit.”

Tetapi beg tangan yang diperbuat daripada kulit buaya antara yang paling mahal, sehingga boleh mencecah sehingga setengah juga ringgit, kata pakar industri itu.

“Beg-beg tangan Birkin yang dimiliki Rosmah diperbuat daripada antara kulit yang paling sukar dicari,” kata pakar industri itu.

Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, dikatakan menggemari beg Birkin.

Awal bulan ini, pihak berkuasa merampas hampir 300 kotak mengandungi pelbagai jenama beg tangan, termasuk Birkin, daripada hartanah yang dikaitkan dengan keluarga Najib.

Bagi peminat beg tangan jenama mewah, Amy Lu, prestij memiliki beg tangan Birkin mengatasi kebanyakan jenama terkenal lain.

“Saya dengar anda memerlukan seseorang yang sudah menjadi pelanggan Hermes untuk mengesyorkan pembelian beg tangan itu kepada anda.

“Sesetengah orang mengatakan ia lebih berharga daripada emas. Saya percaya dakwaan itu kerana beg tangan Louis Vuitton dan Prada yang saya miliki pun harganya sudah meningkat dari segi nilai.

“Saya beli salah satunya pada harga RM3,000, hari ini nilainya lebih kurang RM10,000. Itulah tahap bernilainya sesetengah beg tangan mewah.”

Setiap beg tangan Hermes dibuat oleh seorang pekerja mahir dan mengambil masa sekurang-kurangnya 48 jam untuk disiapkan. Setiap pekerja mahir yang diambil bekerja oleh Hermes mempunyai alatan tersendiri yang mereka bawa sehingga mereka bersara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.