Polis India panggil Tony Fernandes untuk soal siasat 6 Jun

Polis India panggil Tony Fernandes untuk soal siasat 6 Jun

Polis India mahu menyoal siasat CEO AirAsia itu berhubung dakwaan rasuah dan melanggar peraturan mendapatkan lesen penerbangan.

Free Malaysia Today
‘Notis kehadiran’ sudah dihantar melalui e-mel kepada Tony Fernandes. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Biro Penyiasatan Pusat (CBI) India memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ke negara itu untuk disoal siasat atas dakwaan rasuah pada 6 Jun ini.

The Times of India memetik sumber berkata, “notis kehadiran” sudah dihantar melalui e-mel kepada Fernandes.

CBI mahu menyoal siasat Fernandes berhubung kelulusan Lembaga Promosi Pelaburan Asing (FIPB) bagi yarikat itu melabur di India dan usahanya yang didakwa untuk mengubah peraturan dalam dasar penerbangan awam 5/20 supaya AirAsia boleh memulakan operasi antarabangsa di negara itu.

Menurut laporan itu, beliau didakwa memberi tekanan kepada bekas CEO AirAsia India, Mittu Chandilya membuat perubahan dalam dasar kawal selia penerbangan antarabangsa di India yang bersesuaian dengan syarikat itu.

Selasa lalu, CBI berkata, ia memfailkan satu kes terhadap syarikat penerbangan itu, beberapa pekerja dan pihak ke-3 atas dakwaan melanggar peraturan pelaburan langsung asing India untuk mendapatkan lesen serta menyogok pegawai kerajaan melonggarkan peraturan bagi membolehkan AirAsia India menggunakan laluan antarabangsa.

Times of India melaporkan CBI mungkin memanggil Timbalan CEO Kumpulan AirAsia di Malaysia, Bo Lingam dan Pengarah AirAsia India, Venkatramanan Ramchandran.

Menurutnya, FIPB dan pegawai Kementerian Penerbangan Awam yang mengendalikan fail AirAsia pada 2013 dan 2014, juga akan dipanggil ke ibu pejabat CBI untuk disoal siasat.

Agensi itu mendakwa AirAsia menggunakan pelobi seperti Deepak Talwar untuk memansuh atau meminda peraturan 5/20.

Di bawah skim 5/20, syarikat penerbangan domestik dibenarkan terbang ke luar negara hanya selepas menjalani operasi domestik 5 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya 20 pesawat.

“Tony Fernandes mahu syarikat penerbangan itu terbang di laluan antarabangsa dan rakan kongsi tempatannya di India – Tata Sons melalui calon mereka, R Venkatramanan – akan melobi untuk semua kelulusan kerajaan, termasuk pelepasan FIPB dan pindaan/pemansuhan peraturan penerbangan awam antarabangsa India 5/20,” kata CBI dipetik laporan itu.

AirAsia India dalam kenyataan sebelum ini berkata, dakwaan itu sudah disiasat ketua pengarah penerbangan awam yang mendapati operasi dan pengurusan AirAsia India mematuhi Akta Pengurusan Pertukaran Asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.