
Peguamnya, Nor Emelia Iszeham berkata, mereka menarik balik saman terhadap Harakah dan editornya di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng tanpa kebebasan untuk memfailkan saman baru.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan terma yang dipersetujui berkaitan penarikan saman itu.
Najib menyaman Harakah dan editornya pada 2015 atas dakwaan memfitnahnya berhubung isu 1MDB dalam satu artikel bertajuk “Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz” yang diterbitkan pada 19 Februari 2015.
Ini kali ke-2 dalam seminggu Najib menarik balik saman fitnah yang difailkannya. Terdahulu, beliau menarik saman fitnah yang difaikan pada 2015 terhadap Tony Pua berkaitan kenyataan pemimpin DAP itu dalam satu video Youtube mendakwa “Najib mencipta skandal terbesar dalam sejarah Malaysia”.
Najib juga menarik balik saman terhadap bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik atas dakwaan 1MDB, bulan lepas.
Saman ke-2 Najib terhadap Pua berhubung video di Facebooknya berkaitan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang lebih dikenali sebagai RUU 355 akan diteruskan di Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes pada 28 Jun ini.
Peguam Pua, Tan Ch’eng Leong berkata, pemimpin DAP itu mahu meneruskan rayuannya di Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan injunksi ke atas video tersebut.
“Penting bagi kami mempersoalkan notis kehakiman yang disebut dalam penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum ini,” katanya.
Tan berkata, Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan kebenaran Pua untuk merayu terhadap injunksi itu pada 20 Jun ini.
Awal tahun ini, panel hakim Mahkamah Rayuan mengambil notis kehakiman dalam rayuan injunksi Pua yang Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan nama Najib selepas siasatan polis, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara ke atas isu sumbangan RM2.6 bilion.
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menghalang Pua daripada memuat naik video berkenaan.
Najib mendakwa video Pua bertajuk “BN abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill” ditujukan kepadanya dan ia dilakukan dengan niat jahat.
Beliau berkata, Pua dalam video itu menyatakan pembentangan RUU 355 merupakan helah untuk mengalih perhatian daripada skandal 1MDB dan RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadi Najib.